ES Sunlogy sasar RM42 juta dari IPO yang dilancar hari ini

ES Sunlogy sasar RM42 juta dari IPO yang dilancar hari ini

KUALA LUMPUR – ES Sunlogy Berhad (ES Sunlogy), penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, dijangka mengumpul RM42 juta melalui terbitan 140 juta saham biasa baharu pada harga runcit RM0.30 sesaham.

Tawaran Awam Permulaan (IPO) ES Sunlogy yang dilancarkan hari ini bakal menyaksikan syarikat itu disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad, sekali gus mengukuhkan komitmen untuk memajukan infrastruktur dan peralihan tenaga di Malaysia.

Pengarah Urusan ES Sunlogy Berhad, Khor Chuan Meng berkata, pelancaran prospektus merupakan detik yang membanggakan bagi ES Sunlogy, menandakan lembaran baharu dalam pertumbuhan dan perjalanan korporat.

“IPO ini akan membolehkan kami mempercepatkan lagi usaha dalam menyampaikan penyelesaian kejuruteraan M&E berkualiti tinggi sambil memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui Malaysia.

“Dana diperoleh daripada IPO akan menyokong inisiatif strategik jangka panjang, termasuk mengembangkan keupayaan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat, meningkatkan kecekapan operasi, meningkatkan keterlihatan dan menyumbang kepada pembangunan mampan negara.

“Penyenaraian ini mencerminkan komitmen jangka panjang kami terhadap inovasi, kemampanan dan menyampaikan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan syarikat,” katanya.

Hasil RM42 juta yang bakal diraih itu akan digunakan untuk pembangunan dan pembinaan Loji Fotovolta Suria Berskala Besar (LSSPV) Selarong, mengukuhkan tumpuan Syarikat terhadap tenaga boleh diperbaharui sebanyak RM14.1 juta.

Manakala RM14 juta digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya.

Sebanyak RM9.2 juta untuk modal kerja am untuk menyokong operasi hariannya dan RM0.7 juta untuk pembelian sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) untuk meningkatkan kecekapan operasi keseluruhan Kumpulan serta RM4 juta untuk perbelanjaan IPO.

ES Sunlogy telah menunjukkan prestasi kewangan yang kukuh, dengan jumlah hasil meningkat sebanyak RM85.91 juta, atau 169 peratus daripada RM50.82 juta pada tahun kewangan berakhir (FYE) 2022 kepada RM136.73 juta pada TK 2023.

Pertumbuhan ini diteruskan pada FYE 2024, dengan hasil meningkat lagi sebanyak RM54.36 juta, atau 39.8 peratus kepada RM191.09 juta.

Prestasi cemerlang ini menggariskan fokus strategik Syarikat untuk mengembangkan perkhidmatan M&E merentasi sektor permintaan tinggi, termasuk pemasangan solar dan penyelesaian tenaga industri, dengan projek M&E utama di Selangor, Johor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perlis.

M & A Securities Sdn. Bhd. ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin, dan Ejen Penempatan untuk IPO ES Sunlogy. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *