Senario: Gelak Tawa Yang Menghidupkan Zaman Kecil Kita"

Senario: Gelak Tawa Yang Menghidupkan Zaman Kecil Kita”

Oleh: Mazlan Syafie

DALAM dunia hiburan, khususnya dunia lawak, Allah telah menganugerahkan kita dengan kumpulan pelawak seperti Senario. Mereka bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga meninggalkan kesan mendalam dalam kenangan zaman kanak-kanak kita.

Senario ditubuhkan pada tahun 1996 hasil gabungan tujuh peserta akhir rancangan realiti Sinaran Pasport Kegemilangan yang diadakan setahun sebelumnya.

Kumpulan yang diketuai oleh Farouk Hussain ini diberi nama “Senario” yang bermaksud “senang riuh”. Nama ini menggambarkan kebolehan mereka menghibur orang ramai dengan lawak spontan dan penuh jenaka.

Ahli asalnya termasuk Wahid, Ilya Buang, Hamdan Ramli, Shamsul Ghau Ghau, Azlee Jaafar dan Mazlan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet.

Populariti mereka meningkat dengan sitkom pertama di TV3 yang mula disiarkan pada Jun 1996. Nama-nama seperti Wahid, Azlee, Lan Pet Pet dan kemudiannya Saiful Apek dan Yassin menjadi terkenal. Mereka bukan sekadar berjenaka tetapi juga mencipta cerita yang menyentuh jiwa dan kadangkala memberi pengajaran.

Senario meluaskan pengaruh mereka ke layar perak dengan filem pertama mereka, Senario The Movie pada tahun 1999. Filem ini menjadi titik permulaan yang mengukuhkan nama mereka dalam dunia hiburan. Siri filem seperti Lagi-Lagi Senario, Lang Buana dan Pemburu Emas Yamashita terus menghiburkan rakyat Malaysia tanpa mengira umur.

Selain pentas komedi dan filem, Senario turut menghasilkan album muzik. Mereka membuktikan bahawa humor dan muzik boleh digabungkan. Malah mereka berjaya bertanding di Anugerah Juara Lagu dengan lagu-lagu seperti Cepat Kaya dan Joget Berbalas Pantun.

Perjalanan Senario tidak sunyi daripada cabaran. Beberapa ahli seperti Shamsul Ghau-Ghau dan Farouk keluar lebih awal diikuti Ilya dan Hamdan. Kemudian Yassin dan Saiful Apek menyertai kumpulan itu.

Pada kemuncaknya, Senario dikenali dengan lima pelawak utama: Wahid, Azlee, Lan Pet Pet, Saiful Apek dan Yassin. Walaupun masalah kontrak dan perselisihan dalaman menyebabkan Yassin dan Saiful Apek keluar sekitar awal 2000-an, mereka tetap diingati sebagai antara ahli paling terkenal kumpulan ini.

Senario bukan sekadar kumpulan lawak tetapi juga ikon budaya popular Malaysia. Setiap sketsa dan filem mereka mencetuskan fenomena dan menghasilkan ungkapan popular seperti “tak dapek den nolong” dan “ha-ha!” yang masih diingati hingga kini. Lawak mereka sering disertakan dengan sindiran sosial yang mencerminkan isu-isu masyarakat dengan cara yang mudah difahami dan lucu.

Kumpulan ini menarik minat pelbagai generasi dari kanak-kanak hingga orang dewasa. Pada era 1990-an dan awal 2000-an, sitkom dan filem mereka menjadi pilihan keluarga untuk tontonan bersama. Mereka berjaya mengeratkan hubungan keluarga melalui lawak yang mudah diterima oleh semua peringkat umur.

Senario menghasilkan lebih banyak filem berbanding mana-mana kumpulan pelawak lain di Malaysia. Dari 1999 hingga 2011, mereka berjaya menerbitkan sekurang-kurangnya 10 filem termasuk beberapa kerjasama penting dengan pengarah terkenal seperti Aziz M. Osman dan Mamat Khalid. Filem-filem ini bukan sahaja berjaya di pawagam tetapi juga menjadi klasik yang masih ditayangkan di televisyen hingga ke hari ini.

Pada tahun 2014, kumpulan ini menerima Anugerah Komedi Sepanjang Zaman. Ia merupakan satu penghormatan yang mengiktiraf pengaruh dan sumbangan mereka dalam dunia komedi Malaysia. Baru-baru ini pada 12 Oktober 2024, Senario memenangi kategori Artis Komedi Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36. Kemenangan ini membuktikan mereka masih mendapat tempat di hati peminat.

Sebagai tanda penghargaan, ahli Senario telah bersetuju untuk menyerahkan trofi kemenangan ABPBH 2024 kepada keluarga Allahyarham Hamdan Ramli. Hamdan merupakan salah seorang bekas anggota kumpulan yang meninggal dunia pada Januari lalu. Tindakan ini bukan sekadar formaliti tetapi simbol persahabatan yang kekal walaupun mereka tidak lagi bersama secara rasmi. Ini membuktikan bahawa ikatan kekeluargaan dalam Senario kekal utuh.

Pada tahun 2017, beberapa ahli asal Senario bergabung semula dan membentuk Senariounion. Langkah nostalgia ini berjaya menarik perhatian generasi baru. Kumpulan ini membuktikan bahawa lawak mereka tidak lapuk ditelan zaman. Malah generasi muda hari ini turut menghargai jenaka dan karya seni mereka.

MasyaAllah, Allah telah mengurniakan kepada kumpulan Senario bukan sahaja bakat tetapi juga kesatuan dan kekuatan persahabatan yang berkekalan. Setiap jenaka, lagu dan filem mereka adalah bukti bagaimana hiburan boleh menyatukan hati manusia dan mencipta kenangan indah yang bertahan sepanjang hayat. Semoga kita terus menghargai saat-saat indah ini. Setiap senyuman yang terukir kerana lawak mereka menjadi tanda syukur kita kepada-Nya atas kurniaan kegembiraan ini. – ND 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *