Oleh: Zarina Zainal Abidin
PADA 16hb Oktober lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution ada membuat kenyataan bagi pihak kerajaan Madani mengenai pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan yang berkait dengan isu kewarganegaraan.
Pindaan ini sudah diluluskan oleh Parlimen pada 17 Oktober 2024 dan hanya seorang Ahli Parlimen sahaja menentang, selain ada beberapa yang tidak hadir.
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sekali lagi ingin menyatakan pendirian selaku blok parti politik yang ketiga, pemerhati yang mewakili rakyat Malaysia lain yang senada serta pengkritik isu serius ini.
Putra merasakan adalah tidak wajar sama sekali isu membabitkan pindaan kewarganegaraan ini dibuat secara terkocoh-kocoh tanpa kajian ilimiah yang lebih mendalam. Ini membabitkan pelbagai aspek terutama isu keselamatan, perubahan besar sosio ekonomi, budaya, sosial dan macam-macam lagi hal yang lain.
Apabila seseorang individu tersebut telah bertaraf warganegara Malaysia, mereka antara lain telah dapat menikmati pelbagai keistimewaan yang sama seperti warganegara negara ini yang asal seperti berhak menjadi pemilih dalam pilihan raya, dapat bergiat aktif dan boleh juga mengambil bahagian dalam arena politik.
Tidak cukup dengan itu, bebas memiliki hartanah, malah dapat merasai faedah serta kemudahan kebajikan seperti aspek pelajaran dan sebagainya.
Ini yang Kerajaan Madani mahu? Adakah kerajaan yang ada sekarang hendak melihat dalam jangka masa 10, 15 atau 20 tahun akan datang barisan pemimpin atau mungkin juga Perdana Menteri Malaysia adalah hasil dari benih rumpun yang dahulunya merupakan rakyat dari negara Bangladesh atau keturunan Rohingya contohnya yang tiada langsung jati diri asli penduduk asal negara ini?
Landskap politik biarlah beredar dalam lingkungan warganegara yang asal sahaja. Tidak perlulah terlalu ‘bermurah hati’ untuk berkongsi dengan ‘makhluk asing’ yang datangnya tidak pernah rakyat Malaysia undang.
Atas kertas mungkin pindaan ini nampak tersusun indah bagi yang buta matanya, tutur bicara pula nampaknya sangatlah manis mengalahkan gula ketika pembentangan dilakukan, tapi bilangan yang bakal disucikan menjadi warganegara melalui pindaan ini bukanlah suatu isu yang harus dibanggakan.
Impaknya sangat berat. Kesannya akan datang hampir boleh dikategorikan sebagai zalim kepada rakyat Malaysia.
Andainya Kerajaan Madani masih berdegil dengan buah fikiran ‘kurang cerdik’ ini, Putra menyarankan agar Menteri Dalam Negeri lebih baik mencari jalan bagaimana untuk memperketatkan pasukan keselamatan serta lain-lain agensi penguatkuasaan yang ada melalui jaringan kerjasama dengan lebih efisien lagi memandangkan sudah berjuta rakyat dari Negara China ‘lenyap’ macam itu sahaja di negara ini tanpa sebarang jejak yang agak tidak munasabah apabila difikirkan.
Jadilah seperti kata bidalan ‘melilit dulu kemudian memanjat’. – ND
Penulis, Zarina Zainal Abidin adalah Ahli Dewan Tertinggi (ADT) merangkap Pengerusi Biro Undang-undang Anti Rasuah dan Integriti Parti Putra
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252