Majlis Hari Perjumpaan Sri Pattani 2014, Pattani, Thailand
Pada 25 dan 26 April 2014, satu majlis diadakan bagi menghimpunkan Keturunan Raja Melayu Tiga Wilayah Selatan Thailand. Majlis diadakan di Park View Resort, Pattani, Thailand. Ia menjadi titik pertama jejak keturunan di Pattani yang dihadiri Kak Lah dan beberapa AJK Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia.
Pada tahun berikutnya, 2015, dalam majlis sama, diadakan perjumpaan bagi menjalin persahabatan dan silaturahim dalam kalangan kerabat, keturunan Raja-raja Melayu yang pernah wujud di Segenting Kra pada suatu masa dahulu. Semua kerajaan telah lenyap dan diberi nama baharu, yang agak asing daripada nama-nama kerajaan Melayu terdahulu.
Bagaimanapun, keturunan mereka tetap ada dan membesar dengan sistem pentadbiran serta budaya Thailand. Bahasa Melayu secara perlahan telah diganti dengan bahasa Thai dan generasi muda pada hari ini tidak lagi mahir menguasai Bahasa Melayu. Namun, agama Islam tetap terjaga sebagai satu akidah dan budaya hidup mereka. Namun, ketirisan mungkin terus berlaku kerana peredaran masa dan ketirisan jati diri.
Jejak Kasih Demi Harapan
Pada 12 Februari 2016, satu rombongan ke Pattani dari PKPRCSWKM yang turut disertai Kak Lah selaku Yang Dipertua, beberapa AJK pertubuhan dan kerabat diadakan. Perjalanan berkenderaan ke Hotel C.S, Pattani mengambil masa lebih dua jam dari sempadan Kelantan.
Keesokkan hari, 13 Februari, rombongan PKPRCSWKM turut terlibat menyambut ketibaan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah yang tiba di hotel itu bersama rombongan dua bas dari UniMAP.
Kunjungan hormat Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis adalah untuk istiadat konvokesyen khas Universiti Yala Rajabhat di Yala, Thailand, bagi penerimaan anugerah Doktor Falsafah Pengurusan Sains.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pada sebelah petang, rombongan PKPRCSWKM telah dibawa oleh YM Tengku Kamarul Aznam iaitu Penasihat Kerabat Pertubuhan ke Kampung Chabang Kota Raja, Pattani, iaitu kira-kira 15 minit dari Hotel C.S untuk berjumpa dengan keturunan Raden Ahmad (Raden Rahmat atau Sunan Ampel), Nik Muk Sulaiman dan Nik Haris.
Hari keempat, 15 Februari, rombongan PKPRCSWKM meneruskan perjalanan ke Masjid Kerisek dalam Wilayah Pattani. Rombongan turut meninjau Perigi Hang Tuah dan Perigi Hang Jebat yang terletak kira-kira 200 meter antara satu sama lain.
Lawatan jejak kasih demi harapan rombongan PKPRCSWKM ke beberapa kawasan bersejarah di Pattani memberi seribu makna. Menurut Nik Haris, zaman kebangkitan tamadun Islam telah bermula di peringkat awal di Pattani sejak dahulu lagi. Keberadaan keturunan Raja Sang Tawal di Pattani melambangkan keluasan jajahan takluk kerajaan Langkasuka.
Serba sedikit sejarah lokasi sejarah Mak Bonda
Bukit Marak
Hakikatnya, apa yang terjadi kepada sejarah Kelantan, memang sukar untuk dijelaskan secara tepat dan fakta bagi mengumpul sejarah silam, memandangkan pemerintahan suatu masa dahulu berada jauh nun di hutan. Ditambah pula dengan kesan-kesan sejarah yang tidak dapat ditemukan. Begitu juga dengan Bukit Marak di Kampung Gunung, Bachok, yang pernah menjadi kota pemerintahan Puteri Saadong. Namun, keadaan Bukit Marak sekarang sudah gondol kerana ekosistemnya telah dicerobohi dan kesan-kesan kota hampir lenyap sepenuhnya.
Gunung Puteri
Gunung Puteri yang terletak di pinggir bandar Gua Musang, Kelantan mempunyai sejarahnya tersendiri kerana dikatakan menjadi tempat pertemuan sulit dua puteri legenda iaitu Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong. Gunung ini sebenarnya sudah dikenali dan dijejaki oleh ramai aktivis sejarah dari tahun 1950-an lagi.
Rombongan PKPRCSWKM yang diketuai YM Tengku Rozilah (Dato Bentara) dan Timbalan Yang Dipertua pertubuhan, Wan Marzida telah mendaki Gunung Puteri ini dan menimba banyak pengalaman serta banyak perkara menarik ketika berada dalam gua ini.
Gua ini begitu indah, bersih dan ada bentuk-bentuk objek seperti buah belimbing gergasi, katil dan sebongkah batu yang menyerupai seekor buaya besar. Untuk memasuki gua ini memang mencabar kerana pintu laluannya agak sempit. Tetapi hairannya, orang bertubuh besar pun dapat membolosi pintu ini.
Selepas rombongan mengambil semua gambar suasana dalam gua, rombongan buat keputusan untuk turun, tetapi tiba-tiba berlaku hujan sangat lebat. Ini antara kejadian aneh yang berlaku dan dihadapi rombongan PKPRCSWKM. Bagaimanapun, YM Tengku Rozilah dan Wan Marzida tidak basah walaupun hujan lebat. Seolah ada yang memayungi mereka berdua.
Kampung Padang Saujana
Kampung ini terletak di Besut, Terengganu. Ia menjadi tempat pertempuran atau peperangan pada suatu masa dahulu. Menurut cerita Mak Bonda, di sinilah dia berperang dengan pihak musuh. Cerita ini dikisahkan Mak Bonda ketika dalam perjalanan pulang dengan Kak Lah dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.
Antara kata-kata Mak Bonda kepada Kak Lah, “lubang itu aku tanam empat orang, lubang situ aku tanam tujuh orang dan hujung sana aku tanam 14 orang. Semua tempat yang aku tanam tu mana ada pokok naik tinggi (tumbuh tinggi) (sebab) panas…”. Mak Bonda berperang dengan Megat Panji Alam.
Kuala Mangkuk
Pada suatu masa dahulu, Kuala Mangkuk ini adalah pelabuhan besar tempat para pedagang Arab dikatakan telah menyebarkan agama Islam. Ia juga merupakan tempat pertemuan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I dengan pedagang Arab yang dikatakan Ibn Battutah.
Masjid Kampung Laut
Perkembangan Islam di Alam Melayu mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan Islam di Kelantan. Menurut legenda, Masjid Kampung Laut telah dibina oleh Sayid Hussin Jamadil Kubro, sewaktu beliau berkampung di situ. Masjid ini juga dikaitkan dengan peranan ulama-ulama Campa yang mengimarahkan masjid tersebut sebagai pusat pengajian agama Islam.

Masjid Kampung Laut ialah masjid tertua di Kelantan dan reka bentuk atapnya menyerupai reka bentuk atap Masjid Agung Demak, menurut Abdul Rahman Al-Ahmadi, 1990, Warisan Kelantan IV, hlm 1.
Melalui firasat Sayid Thanauddin yang menjadi guru kepada cucu saudaranya, iaitu Sunan Bonang dan Sunan Giri, Masjid Kampung Laut ini diramal akan mencetuskan kebangkitan Islam di Alam Melayu.
Masjid ini dikatakan berusia ratusan tahun dan telah melalui pelbagai cabaran. Namun, masjid ini tetap kukuh di mata masyarakat yang sentiasa menegakkan peranannya sebagai sebuah pusat ibadat dan pusat pengajian. Masjid ini sering diperbaiki kerana strukturnya diperbuat dari kayu.
Serangan serangga dan kerapuhan akibat cuaca panas dan hujan sentiasa ada. Namun, cabaran yang paling besar ialah banjir besar melanda Kelantan pada tahun 1967. Sebahagian besar strukturnya telah musnah kerana asakan banjir. Masjid ini telah diperbaik semula seperti bentuk asalnya.
Pada tahun 1973, Masjid Kampung Laut ini telah dipindahkan ke Pusat Pengajian Islam Nilam Puri, Kelantan iaitu cawangan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM). Masjid ini telah dibina semula dengan reka bentuk asal dan digunakan sebagai pusat ibadah serta ilmu pendidikan Islam.
Kepentingan masjid ini sebagai mercu penyebaran dakwah Islam di Kelantan dan sekitarnya menjadi warisan sejarah yang ditinggalkan oleh alim ulama keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Raja Perempuan Kelantan I.
Bukit Panau
Bukit Panau dikatakan memainkan peranan penting dalam sejarah tempatan Kelantan. Peristiwa aneh di Bukit Panau ini telah melahirkan sebuah legenda bagaimana Kelantan mendapat namanya.

Bukit Panau terletak dalam jajahan Tanah Merah, bersempadan dengan jajahan Pasir Mas. Kawasan ini meliputi Kampung Joha, Bendang Baru, Kampung Tengah dan Bukit Panau, yang berjiran dengan Kampung Sungai Keladi. Kawasannya terletak di laluan Pasir Mas-Tanah Merah.
Ini merupakan sebuah perkampungan terawal dan tempat Wali Tujuh bersuluk dan menyebarkan dakwahnya. Di sinilah juga dikatakan tempat Hang Tuah belajar silat dengan gurunya Adi Putra, iaitu Sayid Thanauddin adik kepada Sayid Hussin Jamadil Kubro.
Menurut cerita rakyat, nama Kelantan muncul dari satu peristiwa aneh yang berlaku di atas Bukit Panau. Dikatakan, selepas siap membina Masjid Kampung Laut di Tumpat, Sayid Hussin Jamadil Kubro bersama enam saudaranya belayar mudik ke hulu Sungai Kelantan hingga mereka melihat sebuah bukit yang cantik, dipanggil Bukit Panau.
Sayid Hussin dan rombongannya telah mendaki Bukit Panau itu hingga ke puncak pada waktu sembahyang Maghrib. Sayid Hussin dan rombongannya menunaikan solat Maghrib dan terus beribadat secara suluk hingga dinihari. Tiba-tiba bumi seolah bergoyang dan angin pula bertiup kencang seperti ada sesuatu yang akan berlaku.
Dengan kebesaran Allah, terjadilah suatu peristiwa yang menakjubkan. Malam yang gelap tiba-tiba bercahaya dengan satu kilauan yang cantik menerangi alam. Ini menggemparkan penduduk setempat; lalu mereka beramai-ramai mendaki Bukit Panau untuk melihat apa yang berlaku.
Sebaik tiba di puncak, mereka sekali lagi dikejutkan dengan satu dentuman yang amat kuat seperti petir yang mengeluarkan cahaya putih berkilau indah menerangi malam yang gelap gelita itu. Cahaya itu memancar dari rombongan Sayid Hussin lalu menuju ke langit dan membentuk satu imej ‘tudung saji’.
Penduduk setempat dikatakan berasa sangat kagum dengan kejadian itu. Mereka bercerita mengenai keindahan cahaya yang berkilat-kilat menyinari kawasan itu dan terus terpancar ke langit dengan bentuk tudung saji. Maka, dikatakan dari mulut penduduk setempatlah keluar perkataan “Kilat…Kilatan” hingga menjadi Kelantan sampai sekarang.
Selepas peristiwa cahaya itu, Sayid Hussin telah meninggalkan enam saudaranya di Bukit Panau untuk menyebarkan dakwah Islam dan menjaga “keberkatan negeri Kelantan yang baru disucikan”, supaya menjadi negeri yang berkat, aman dan berdaulat. Kemudian, beliau dan beberapa orang yang lain telah belayar ke Campa meneruskan dakwah Islam.
Masjid Brunei di Danau To’ Uban, Pasir Mas
Tidak ramai tahu kewujudan Masjid Brunei yang cantik di pedalaman To’ Uban, Pasir Mas. Kos pembinaannya dibiayai sepenuhnya oleh Sultan Brunei bagi memudahkan pelajar pondok berdekatan menggunakannya. Justeru, masjid ini dinamakan Masjid Brunei.
Pembinaannya dikatakan berkait rapat dengan sejarah Danau To’ Uban sendiri yang merupakan satu tempat persinggahan dan penempatan sementara Sayid Hussin Jamadil Kubro yang juga moyang kepada Sultan Brunei sekarang. Masjid ini digunakan oleh pelajar pondok sebagai tempat solat berjemaah dan menghafaz al-Quran.
Danau To’ Uban
Danau ini pada suatu masa dahulu ialah sungai yang sibuk dikelilingi kampung-kampung. Antaranya, Kampung To’ Uban dan Kampung Batu Hampar. Dua kampung ini pada zaman zaman dahulu ialah kampung yang berperanan penting sebagai pusat pengumpulan barangan hutan untuk dihantar ke kawasan lain melalui sungai besar.
Bagaimanapun, apabila berlaku banjir besar, air sungai itu dikatakan telah melimpah dan menenggelamkan seluruh kampung dan kota pentadbiran pada masa itu. Selepas itu, air tidak pernah surut dan terus kekal menjadi sebuah tasik yang besar dan dipanggil Danau To’ Uban mengambil sempena Kampung To’ Uban, yang merupakan keturunan turun temurun Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang dengan Sayid Hussin Jamadil Kubro dan Wali Songo. – NasionalDaily
Bersambung. Esok siri terakhir Ceritera Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang bersiaran.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
