JOHOR BAHRU – Ray Tech (Malaysia) Sdn. Bhd. (Ray Tech), syarikat yang menjalankan perusahaan inovasi teknologi sinaran-X (X-Ray) membuat pelaburan kira-kira RM50 juta untuk pelbagai instrumen dan peralatan pengesanan sinar-X yang diterokainya.
Berpusat di Gelang Patah, syarikat atau kilang ini telah membangunkan lebih 500 paten serta mengeksport ke 70 negara, dengan bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan kepada anak Johor, bahkan merupakan pekerjaan berpendapatan tinggi di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika merasmikan pembukaan kilang itu berkata, ia merupakan anak syarikat Unicomp Technology China dan telah beroperasi sejak September 2023.
Katanya, ketika ini Ray Tech sedang bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk melatih anak muda Johor.
“Sebanyak RM50 juta pelaburan dibawa oleh Ray Tech dan mereka yakin jumlah pelaburan tersebut berpotensi ditingkatkan sehingga RM150 juta.
“Kilang ini menjalankan perusahaan inovasi teknologi sinaran-X (X-Ray) yang telah membangunkan lebih 500 paten dan mengeksport ke 70 buah negara.
“Ray Tech yakin mampu membuka 150 peluang pekerjaan berkualiti tinggi, selain turut bekerjasama dengan institusi pendidikan seperti UTM dan Southampton University juga Talent Corp untuk merekrut bakat tempatan bekerja dengan mereka,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Lee Ting Han; Presiden Unicomp Technology Co., Ltd, Dr. Liu Jun; dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (MIDA), Siva Suriya Moorthy.
Beliau berkata, pelbagai instrumen dan peralatan pengesanan sinar-X diterokai oleh Ray Tech, yang memenuhi keperluan industri seperti elektronik, semikonduktor, kenderaan elektrik, tenaga solar, makanan, bateri litium, keselamatan dan penjagaan kesihatan.
“Saya amat gembira syarikat yang berpangkalan dari China ini memilih Johor sebagai destinasi pelaburan mereka.
“Syarikat yang membawa, bukan sahaja nilai pelaburan yang besar, tetapi juga peluang pekerjaan berkualiti tinggi seumpama inilah yang akan menjadi sasaran kerajaan negeri untuk Zon Ekonomi Khas yang digagaskan.
“Kerajaan negeri komited untuk terus memberi sokongan penuh dan akan melipatgandakan usaha membawa pelabur baru ke Johor,” kata beliau.
Onn Hafiz berharap, apa yang direncanakan kerajaan negeri akan membuahkan hasil, seterusnya merealisasikan hasrat Johor menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030. – Nasionaldaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!