DAP senarai 10 calon, umum malam ini

SHAH ALAM – DAP menyenarai 10 nama calon berpotensi yang satu daripadanya bakal terpilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Pengarah Pilihan Raya Kecil Pakatan Harapan (PH), Ng Sze Han berkata, calon yang dipilih akan dimuktamadkan pada mesyuarat kepimpinan tertinggi pakatan itu yang dijadualkan berlangsung malam ini.

“DAP mempunyai senarai panjang mereka yang layak bertanding dan daripada 10 individu yang disenarai pendek, terdapat calon daripada kaum Melayu, selain Cina dan India.

“Malam ini, kepimpinan tertinggi akan memutuskan calon paling sesuai dan diyakini dapat menyambung legasi khidmat cemerlang mendiang Lee Kee Hiong yang menjadi wakil rakyat di Kuala Kubu Baharu selama tiga penggal,” katanya pada majlis Aidilfitri anjuran media Selangor di sini, hari ini.

Mengakui setiap pilihan raya mempunyai risiko dan cabaran tersendiri, Ng yang juga Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor berkata, pemilihan calon yang betul akan memudahkan gerak kerja kempen dalam usaha mengekalkan pencapaian cemerlang PH, khususnya DAP di kerusi itu.

“PRK ini bukan kempen DAP dan PH sahaja, tetapi ia adalah pilihan raya yang menyaksikan kita berkempen atas nama Kerajaan Perpaduan yang turut didukung UMNO… dengan gabungan kekuatan serta pengalaman yang dimiliki, kita yakin akan mendapat sokongan daripada penduduk dan juga pengundi,” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Lee, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei sebagai hari pengundian dan Sabtu ini hari penamaan calon.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu adalah PRK ketujuh selepas PRU15 dengan enam daripadanya dilaksanakan tahun lalu iaitu Parlimen Kuala Terengganu (Ogos), Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram (September), DUN Pelangai (Oktober), DUN Jepak (November) dan Parlimen Kemaman (Disember). – BERNAMA

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *