Peranan surat khabar membentuk pemikiran rakyat

Oleh Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican (ISTAC-IIUM)

KEKUATAN mereka ialah suara Cina kekal disuarakan oleh media mereka – maksud saya surat khabar – The Star dan lebih kurang 10 lagi surat khabar harian serta mingguan. Mana suara orang Melayu?

Surat khabar Melayu tiada arah tuju. Ramai antara kita yang tidak pentingkan surat khabar cetak dan menekankan media sosial. Ini pemikiran yang tidak tersasar akibat taksub dan dipengaruhi oleh media sosial.

Surat khabar cetak memainkan peranan kritikal dalam memperjuangkan suara mereka. Surat khabar kita tidak begitu; Melayu pun tak baca surat khabar cetak, tidak beri sokongan, hanya bergantung kepada media dalam talian yang memang berpengaruh, tetapi tidak ada elemen penyatuan pendirian dan suara.

Cuba kita fikirkan jumlah penduduk Cina di Malaysia cuma ada kira-kira 21 peratus. Itulah gambarannya jika kita andaikan pembaca Cina dan peratusan pembaca Cina dengan kira-kira 10 surat khabar harian serta mingguan berbanding hampir 63 peratus bumiputera dengan jangkaan pembaca Melayu untuk lima surat khabar – jika tolak Metro dan Kosmo, hanya ada tiga sahaja.

Dan, selama ini pun, orang Melayu termasuk ilmuan, meremehkan surat khabar Melayu dan dengan bangga berkata, mereka tidak baca surat khabar Melayu – atas sebab-sebab taksub politik lalu mendakwa surat khabar Melayu ada picisan dan dangkal.

Itu dakwaan yang sampai kepada saya melalui perbualan dan sikap negatif dari cendekiawan dan profesor-profesor Melayu yang dari tahun 1990an lagi. Selama ini masyarakat cerdik pandai Melayu mempersendakan surat khabar bahasa sendiri.

Saya kira orang Cina dan akademik atau profesor Cina tidak pernah mempersenda surat khabar mereka. Pembacaan surat khabar mereka merentasi parti.

Pembacaan media atau surat khabar orang Melayu masih lagi bergantung kepada kepercayaan parti. Mereka tidak kekal sebagai satu suara padu. Melayu ada pelbagai suara.

Jika kita ingat pada satu masa dulu kekuatan surat khabar Melayu – dasawarsa 1920an ke 1940an dan selepas merdeka tahun-tahun 1970an dan 1980an disuarakan melalui lidah pengarang, komentar dan hujah-hujah yang bernas; kini suara akhbar, kita tidak ada lidah pengarang.

Yang berlagak sebagai lidah pengarang ada – dan ini amat memesongkan pembaca Melayu.

Agenda dan susunan perjuangan wajarlah disuarakan oleh surat khabar atau kewartawanan Melayu. Orang Melayu kini telah lupa sebuah institusi dan profesion itu.

Orang Cina tidak lupa. Masyarakat Tamil pun ada empat surat khabar Tamil yang berjuang dan bersuara bagi pihak mereka. Jumlah penduduk Tamil kurang dari tujuh peratus.

Saya telah bangkitkan suara Melayu ini sejak 30 tahun lalu. Suara Melayu tidak boleh lahir dari ahli politik dan NGO. Suara Melayu mesti juga secara sedar dianjurkan oleh kewartawanan dan surat khabar atau media.

Mesti ada kerjasama strategik dan sinergi antara NGO Melayu dengan akhbar Utusan, Berita Harian, Sinar Harian dan beberapa portal utama. Inilah yang berlaku di kalangan masyarakat Cina.

Mereka ada kesefahaman strategik dengan surat khabar The Star, Sin Chew, Nanyang, China Press; dan India melalui Tamil Nesan, Malaysia Nanban dan lain-lain walaupun akhbar Tamil ini bergantung kepada parti politik dan pemilikan individu.

Dan, pemilik surat khabar Melayu walaupun mewakili parti politik, tidak semestinya surat khabar itu dikawal sebagai buletin parti. Ini yang telah terjadi kepada Utusan Malaysia/Melayu. Kerajaan dan parti politik Melayu mesti faham fungsi media dan kewartawanan.

Ahli politik Cina dan masyarakat Cina telah lama faham fungsi media mereka – ia bukan media parti. Kita mesti belajar dari Cina. Lihat komentar saya di Utusan Malaysia 2008. Ramai yang tanya – kenapa Melayu mesti belajar dari Cina?

Soal kefahaman pro atau anti kerajaan ini terlalu simplistik. Apakah surat khabar Cina perlu dilihat pro atau anti kerajaan? Pengedaran dan pembacaan mereka kekal hingga hari ini.

Golongan editor, wartawan, pemilik Melayu mesti bijak menggunakan surat khabar. Tidak salah jika surat khabar memihak kepada sesuatu ideologi politik, tetapi tanggungjawab akhbar dan kewartawanan itu lebih luas.

Jika hendak jadi organ politik, jadilah macam Harakah. Kita semua tahu, tetapi jika hendak kekal sebagai Utusan, Berita Harian dan Sinar Harian, mainkan peranan yang sepatutnya.

Tahun 1970an dan 1980an selepas UMNO ambil alih Utusan Melayu 1961 dan seterusnya, Utusan masih kritikal terhadap kerajaan dan UMNO. Ini pernah dan boleh dilakukan. Lidah Pengarang Utusan Malaysia amat tajam dan pedas ketika itu. Menegur menteri jika keadaan memerlukan, menegur dasar kerjaaan. Ini sekadar contoh sebuah surat khabar yang ‘pro-kerajaan’, tetapi mewujudkan ruang kritikan, dasar dan ideologi.

Orang Melayu mesti ingat kritikan itu tidak semestinya subversif. Selain dari Utusan, tahun 1970an dan 1980an penuh dengan surat khabar Melayu, seperti Watan. Ada yang populis dan berbentuk hiburan, picisan.

Namun, ada yang bersifat serius, menyentuh dan menegur asas-asas pemerintahan, pelaksanaan dasar dan sebagainya.

Namun, sekarang ini nampaknya, semua akhbar Melayu mengambil pendirian selamat dan populis. Paparan lidah pengarang pun dipesongkan. Alasannya ialah pesaingan media sosial. Editor dan wartawan Melayu kurang bijak. Media sosial bukan kewartawanan, bukan institusi wartawan. Maka tidak ada pesaingan. Dan tidak perlu mengaku kalah. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *