Kekecohan yang tercetus antara Ketua Srikandi PKR Melaka Farzana Hayani Nasir dengan seorang wanita dalam satu program di Bukit Rambai yang tular baru-baru ini berpunca apabila dia didakwa cuba berkempen di majlis berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Surina Shamsudin yang terbabit dalam video kekecohan berkenaan tampil menjelaskan apa sebenarnya berlaku pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani sehingga menyebabkan Farzana dihalau daripada program berkenaan.
Beliau berkata perkara ini telah dipersetujui bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bahawa program itu tidak boleh melibatkan mana-mana parti politik untuk berkempen termasuk daripada BN.
“Sebelum ni kita dah berbincang dengan pihak ICU dan mengatakan takkan ada mana-mana parti yang akan turut serta dalam program kita. Parti Barisan Nasional, PKR, atau mana-mana parti yang ada, kita takkan invite (jemput).
“Saya bercakap baik dengan dia untuk dia meninggalkan program saya… Saya dah bercakap elok dengan dia dah. Dengan nada suara yang rendah saya bercakap dengan dia, apa semua, minta dia beredar.
“Saya tak nak ada isu politik dalam ni, tak nak ada memperkenalkan diri sebagai orang politik ke apa, saya tak nak,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di media sosial.
Terdahulu Farzana yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tangga Batu menyatakan hasrat bertemu wanita yang didakwa menghalaunya daripada menghadiri program di kawasan masjid Bukit Rambai pagi tadi sehingga tular di media sosial.
Farzana, 26, mengakui berasa sedih dan kecewa apabila diminta meninggalkan kawasan masjid dalam kejadian jam 9.22 pagi itu atas dakwaan membawa unsur politik ketika menghadiri program Kampung Angkat Madani itu.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Menurutnya, beliau sudah pun menjelaskan bahawa kehadirannya sebagai anak jati Bukit Rambai tidak disertai pemakaian logo parti atau bahan kempen, namun keadaan menjadi tegang sehingga beliau ditengking di hadapan orang ramai.
Sementara itu, Surina berkata ia bukan kali pertama Farzana cuba berkempen dalam majlis diadakannya, malah sebelum itu pemimpin PKR berkenaan turut mengedar nasi yang tertera gambarnya.
Malah, kata Surina, beliau turut diherdik oleh bapa Farzana dalam majlis itu.
“Masa bapa dia datang, bapa dia bodohkan saya, bangangkan saya, apa semua. Lepas tu saya balas balik.
“Saya kata: ‘kenapa nak bodohkan saya? Ini program saya. Saya tak nak ada politik’.Video ada semua, yang tuan-tuan boleh tengok tu, bapa dia marah-marah pada saya,” katanya lagi.
