778 sukarelawan daripada 18 UA bantu mangsa banjir di Pangkor

Oleh: Bazli Razak

PANGKOR – Seramai 778 sukarelawan daripada 18 universiti awam (UA) seluruh negara digerakkan menerusi Misi Sukarelawan Mega @ Pangkor bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di Pulau Pangkor.

Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, misi melibatkan 625 pelajar dan 153 staf itu turut menyalurkan 520 sumbangan berupa bakul makanan, toto, bantal dan makanan retort bagi meringankan beban mangsa yang terjejas.

Beliau berkata, penglibatan pelbagai universiti dalam misi berkenaan mencerminkan semangat kebersamaan institusi pendidikan tinggi dalam membantu masyarakat yang berdepan musibah.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

“Semangat kebersamaan ditunjukkan oleh seluruh universiti awam hari ini membuktikan institusi pengajian tinggi tidak pernah terpisah daripada nadi masyarakat.

“Misi Sukarelawan Mega di Pangkor ini ialah penterjemahan solidariti kita untuk bersama-sama mendepani ujian yang dihadapi rakyat,” katanya.

Banjir kilat itu berlaku susulan hujan lebat berterusan selama kira-kira dua jam bermula 4 pagi, menyebabkan air naik dengan cepat sehingga memasuki kediaman penduduk sebelum beransur surut sekitar jam 9 pagi.

Menurut Md Amin, bagi memastikan bantuan dapat disampaikan secara teratur, sukarelawan dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut kawasan agihan bantuan dan kerja-kerja pembersihan yang melibatkan sekurang-kurangnya 150 rumah kediaman.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

“Kawasan terlibat ialah Kampung Masjid yang melibatkan 100 rumah, Kampung Teluk Kecil (10 rumah), Kampung Sungai Pinang Besar (10 rumah), Kampung Cina Sungai Pinang (30 rumah) dan Kampung Cina Pangkor,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengerusi Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Awam merangkap Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata, penyelarasan menerusi Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) membolehkan tenaga sukarelawan daripada pelbagai universiti digembleng dalam tempoh singkat.

Beliau berkata, penglibatan Pasukan ResQ UPSI bersama kekuatan logistik dan kepakaran dalam pembersihan bencana turut membantu melancarkan pergerakan serta operasi di lapangan.

“Penyelarasan pantas menerusi MASKUM membolehkan seluruh jaringan universiti awam digembleng secara sistematik dalam tempoh yang singkat.

“Kehadiran Pasukan ResQ UPSI bersama kekuatan logistik dan latihan khusus pembersihan bencana turut menjadi tulang belakang yang melancarkan pengurusan pergerakan serta operasi menyelamat di lapangan,” katanya.

Dalam pada itu, wakil pelajar UPSI, Muhammad Hassan Sheikh Alrisid Movidin, 21, berkata, kesediaan mahasiswa daripada pelbagai universiti untuk turun padang menunjukkan komitmen mereka dalam membantu masyarakat yang ditimpa musibah.

Beliau berkata pengorbanan masa dan tenaga oleh para sukarelawan mencerminkan keprihatinan mahasiswa terhadap nasib penduduk yang terjejas.

Seorang peserta misi daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Amir Hakimi Mohd Raizol, 20, pula berkata, pengalaman menyertai misi berkenaan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *