PUTRAJAYA – Kunjungan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud, menziarahi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi satu pertemuan bermakna apabila mereka sempat berbual dan berkongsi pandangan mengenai perkembangan negara, termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menerusi perkongsian di media sosial, Nassuruddin melahirkan rasa syukur kerana berpeluang bertemu dan berbual dengan tokoh negarawan itu.
Walaupun berdepan keterbatasan kesihatan, katanya, minat serta kecintaan Tun Dr. Mahathir terhadap Malaysia masih jelas terpancar.
Antara perkara yang menarik perhatian Menteri Besar itu ialah apabila Tun Dr. Mahathir bertanyakan perkembangan ECRL, termasuk bila perkhidmatan tren berkenaan akan mula beroperasi.
“Macam mana ECRL, bila mula operasi?” tanya Tun Dr. Mahathir.
Nassuruddin kemudian menjawab, perkhidmatan itu dijangka mula beroperasi sekitar pertengahan Disember ini, sambil berseloroh meminta Tun Dr. Mahathir segera pulih supaya berpeluang menaiki tren berkenaan ke Kelantan.
“Insya-Allah, tak lama lagi Tun. Dalam pertengahan Disember nanti. Tun kena cepat sihat, boleh naik ECRL ke Kelantan,” katanya.
Menurut Nassuruddin, gurauan itu membuatkan Tun Dr. Mahathir tersenyum dan mereka turut tertawa bersama.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Beliau berasa gembira melihat bekas Perdana Menteri itu masih ceria dan bersemangat ketika berbual.
Bagi Nassuruddin, pertemuan tersebut memperlihatkan bagaimana usia dan keadaan kesihatan mungkin membataskan pergerakan seseorang, tetapi tidak semestinya memadamkan minatnya terhadap perkembangan negara.
Beliau turut mendoakan agar Tun Dr. Mahathir dikurniakan kesembuhan, kekuatan dan kesejahteraan, selain berharap tokoh itu kembali pulih seperti sediakala.
“Cepat sihat Tun. Kelantan menanti!” katanya mengakhiri perkongsian.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
