Oleh Editorial ND
PELIK juga perangai sesetengah orang hari ini. Apabila ada orang menderma kepada Tabung Solidariti Dato’ Seri Najib Tun Razak, bukan sahaja sumbangan itu dipersoalkan, malah penderma turut dilabel bodoh.
Nampaknya, sebelum hendak menghulurkan wang sendiri, orang ramai kena mendapatkan sijil kelulusan daripada golongan yang merasakan diri mereka lebih bijak.
Kalau tidak mendapat restu daripada orang yang kononnya cerdik, alamatnya bersedialah menerima kuliah percuma tentang kebodohan.
Persoalannya mudah sahaja. Wang siapa yang didermakan? Wang sendiri atau wang orang yang sibuk mengkritik itu?
Kalau duit sendiri, terpulanglah hendak digunakan untuk apa, asalkan tidak melanggar undang-undang.
Ada orang memilih untuk menderma kerana simpati, ada yang melihatnya sebagai tanda solidariti, dan ada pula yang mempunyai alasan tersendiri.
Tidak semestinya semua orang perlu menerangkan isi hati mereka kepada seluruh dunia sebelum membuat sumbangan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kalau tidak bersetuju, cakaplah tidak bersetuju. Kalau merasakan tabung itu tidak patut diwujudkan, berikan alasan.
Kalau ada perkara yang perlu dipersoalkan, kemukakan hujah. Itu lebih berguna daripada sibuk mengukur tahap kecerdikan orang lain.
Melabel penderma sebagai bodoh tidak menjadikan kita automatik bijak. Kadang-kadang, orang yang paling kuat mempertikaikan akal orang lain itulah yang terlupa menggunakan akalnya untuk memahami keadaan – sebenarnya dia yang bodoh.
Yang menariknya, ada orang nampaknya sukar membezakan antara membantu seseorang dengan bersetuju terhadap segala perbuatannya.
Kalau seseorang menderma kepada individu yang sedang berdepan masalah, terus dianggap menyokong semua perkara yang pernah dilakukannya.
Kalau bersimpati, dikatakan tidak faham undang-undang. Sejak bila simpati dan undang-undang perlu duduk di dua penjuru yang tidak boleh bertemu?
Seseorang boleh menghormati proses perundangan, menerima prinsip bahawa setiap orang tertakluk kepada undang-undang dan pada masa yang sama memilih untuk membantu atas pertimbangan kemanusiaan.
Semua itu boleh wujud serentak. Menderma bukan tiket untuk melepaskan seseorang daripada tanggungjawab undang-undang, sebagaimana mengkritik penderma bukan bukti kita lebih memahami keadilan.
Bagaimanapun, jangan pula salah faham. Orang ramai tetap berhak mempersoalkan tujuan sesuatu tabung, termasuk tabung yang diwujudkan untuk tokoh politik.
Penderma juga tidak kebal daripada kritikan. Cuma, biarlah kritikan itu ada isi. Kalau hujah setakat memanggil orang bodoh, apa bezanya dengan orang yang masuk gelanggang perdebatan, tetapi terlupa membawa modal selain ejekan?
Kadang-kadang kita terlalu ghairah mahu menunjukkan kita berada di pihak yang betul, sampai terlupa cara menghormati orang lain.
Kita menyangka semakin pedas kata-kata, semakin tinggi pula tahap kecerdikan yang dipamerkan. Hakikatnya, sindiran yang tajam belum tentu menandakan fikiran yang tajam. Pisau pun boleh tajam, tetapi tidak bermakna pisau itu boleh berfikir.
Akhirnya, biarlah orang membuat keputusan terhadap wang mereka sendiri. Kalau kita tidak mahu menderma, tidak perlu menderma.
Kalau kita tidak bersetuju, nyatakan sebabnya. Tidak perlu pula berasa bertanggungjawab menentukan siapa yang layak menerima simpati dan siapa yang patut dibantu.
Barangkali ada satu perkara yang wajar direnungkan bersama. Dalam usaha membuktikan orang lain bodoh, jangan sampai kita sendiri terlupa bahawa menghormati manusia juga memerlukan kebijaksanaan.
Tidak semua orang yang kita tidak setujui itu bodoh, dan tidak semua orang yang pandai menghina orang lain itu bijak.
Kadang-kadang, yang paling sukar dilakukan bukanlah mengajar orang lain berfikir, tetapi belajar menerima bahawa dunia ini tidak berputar mengikut kepala kita seorang. – ND
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
