KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyokong keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghentikan pemakaian baju lokap berwarna oren terhadap Orang Kena Siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, keputusan itu dilihat sebagai langkah matang dan profesional yang selaras dengan prinsip keadilan bahawa seseorang yang sedang disiasat tidak boleh dianggap bersalah sebelum kesalahan dibuktikan melalui proses undang-undang.
Menurutnya, permohonan reman adalah sebahagian daripada proses siasatan dan bukan satu bentuk hukuman terhadap seseorang individu.
“Reman bukan hukuman. Ia merupakan sebahagian daripada proses siasatan. Oleh itu, tindakan membawa seseorang OKS ke mahkamah tidak seharusnya mewujudkan persepsi awam seolah-olah individu tersebut telah pun disabitkan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, penggunaan gari pula wajar dibuat berdasarkan penilaian risiko dan budi bicara profesional, bukannya secara automatik atau sebagai satu bentuk penghinaan terhadap individu yang sedang disiasat.
Katanya, antara faktor yang sewajarnya dipertimbangkan termasuk risiko melarikan diri, tahap agresif, keselamatan pegawai pengiring dan orang awam, kemungkinan mencederakan diri atau orang lain serta keadaan kesihatan, umur dan keupayaan fizikal OKS.
Bagaimanapun, MCW menegaskan bahawa kuasa budi bicara dalam penguatkuasaan tidak seharusnya membawa kepada layanan berbeza berdasarkan kedudukan atau pengaruh seseorang.
Jais berkata, menteri, bekas menteri, ahli politik, penjawat awam, tokoh korporat mahupun rakyat biasa perlu tertakluk kepada standard penilaian risiko yang sama.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Budi bicara tidak boleh bertukar menjadi pilih kasih.
“Kedudukan, pangkat dan pengaruh seseorang tidak seharusnya secara automatik memberikan layanan istimewa, sebagaimana status seseorang sebagai suspek juga tidak menghalalkan tindakan yang mengaibkan,” katanya.
Menurut beliau, pendirian itu penting bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara adil tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu.
Dalam pada itu, MCW menegaskan sokongannya terhadap usaha membanteras rasuah tidak bermakna tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan sehingga mengabaikan prinsip keadilan.
Jais berkata, perjuangan membanteras rasuah perlu dilaksanakan secara berintegriti tanpa bergantung kepada penghakiman awam atau persepsi sebelum sesuatu kes diputuskan mahkamah.
Menurutnya, pendekatan seperti “trial by media”, penghinaan awam atau hukuman berdasarkan persepsi tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada proses penguatkuasaan antirasuah.
Pada masa sama, beliau menegaskan keputusan menghentikan pemakaian baju oren itu tidak boleh ditafsirkan sebagai usaha melembutkan tindakan terhadap pesalah rasuah.
“Siasatan mesti kekal tegas, bebas dan tanpa takut atau pilih kasih. Pendakwaan hendaklah dilakukan apabila bukti mencukupi, dan mereka yang akhirnya disabitkan kesalahan mesti menerima hukuman sewajarnya,” katanya.
MCW turut menggesa SPRM menetapkan serta menerbitkan garis panduan yang jelas, seragam dan telus berkaitan penggunaan gari serta tatacara membawa OKS ke mahkamah.
Menurut Jais, garis panduan berkenaan penting bagi memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan prinsip yang sama serta mengelakkan timbulnya dakwaan wujud layanan berbeza dalam kalangan individu yang disiasat.
Ia juga, katanya, dapat memberi perlindungan kepada pegawai penguat kuasa yang perlu membuat keputusan berdasarkan keadaan sebenar ketika menjalankan tugas di lapangan.
Jais berkata, ketegasan dalam membanteras rasuah dan penghormatan terhadap maruah manusia tidak seharusnya dilihat sebagai dua perkara yang bertentangan.
“Kita boleh keras terhadap rasuah tanpa mengorbankan maruah manusia. Kita boleh tegas terhadap suspek tanpa mendahului keputusan mahkamah.
“Dan kita boleh memberi budi bicara kepada penguat kuasa tanpa membenarkan pilih kasih,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan sedemikian mencerminkan bentuk penguatkuasaan antirasuah yang wajar diterapkan, iaitu tegas dalam tindakan, adil dalam proses, profesional dalam pelaksanaan dan berintegriti dalam setiap keputusan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
