PGA Rampas Lori, 103 Batang Kayu Getah Bernilai RM105,000 Di Kota Bharu

KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki dan merampas sebuah lori serta 103 batang kayu getah pelbagai saiz dianggarkan bernilai RM105,000 kerana disyaki memindahkan hasil hutan tanpa permit sah dalam Ops Taring Wawasan Kelantan di sini semalam.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata tangkapan itu dilakukan pada 6.45 petang oleh Pegawai Strike Force Kompeni B, Batalion 7 PGA Kuantan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan berhampiran Setor Kayu Petaling dan TRD di Kampung Gajah Mati di sini.

Beliau berkata anggota yang menjalankan rondaan di Jalan Pohon Tanjung menahan sebuah lori Isuzu berwarna putih dengan membawa muatan kayu dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu gagal mengemukakan permit atau dokumen sah bagi pemindahan kayu yang dibawa.

“Susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan dan lori bersama muatan 103 batang kayu getah pelbagai saiz dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata nilai rampasan dianggarkan RM105,000, melibatkan sebuah lori bernilai RM75,000 dan kayu getah bernilai RM30,000.

“Siasatan awal mendapati suspek memperoleh kayu daripada pekebun di Kampung Banggol Kong, Jeram Perdah sebelum menghantarnya ke sebuah kilang kayu di Kampung Gajah Mati untuk diproses,” katanya.

Beliau berkata suspek dipercayai menjalankan kerja pemindahan kayu menggunakan lori persendirian sejak kira-kira tiga tahun lepas berdasarkan permintaan pemilik kebun, namun didapati memindahkan kayu di luar waktu yang ditetapkan serta tanpa permit pemindahan sah.

“Lori bersama muatan kayu itu diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan dibawa ke tapak sitaan di Tanah Merah untuk tindakan lanjut, termasuk proses dokumentasi bagi penentuan kadar saman atau kompaun,” katanya. – BERNAMA

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *