CAPE TOWN: Sekurang-kurangnya 11 orang maut dalam beberapa kes tembakan sejak petang Ahad di Wilayah Western Cape, Afrika Selatan, menurut polis pada Isnin, lapor Xinhua.
Tembakan terbaru berlaku di Gugulethu, sebuah perbandaran di Cape Town kira-kira 20 kilometer (km) ke tenggara pusat bandar pada awal pagi Isnin, mengorbankan lima nyawa manakala seorang lagi cedera, menurut Perkhidmatan Polis Afrika Selatan di Western Cape dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, polis bergegas ke lokasi kejadian di sebuah kediaman selepas menerima laporan mengenai tembakan dan mendapati mangsa mengalami pelbagai kecederaan akibat tembakan.
“Empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 23 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan. Seorang wanita berusia 20 tahun yang mengalami luka tembakan dihantar ke kemudahan perubatan untuk rawatan,” kata polis.
Siasatan awal menunjukkan dua lelaki bersenjata yang tidak dikenali menceroboh rumah berkenaan, kata polis.
“Suspek didakwa menuntut senjata api sebelum melepaskan tembakan ke arah penghuni rumah. Mereka kemudian melarikan diri dari tempat kejadian dan belum ditangkap,” katanya.
Dalam kejadian tembakan berasingan di Stellenbosch, sebuah bandar kira-kira 50 km ke timur Cape Town pada petang Ahad, empat orang maut manakala empat lagi cedera, termasuk dua pegawai polis.
Pada lewat Ahad malam di Manenberg, sebuah penempatan berhampiran Gugulethu di Cape Town, dua lelaki berusia 38 dan 54 tahun maut, manakala seorang wanita berusia 74 tahun cedera parah dalam satu lagi insiden tembakan.
Polis berkata siasatan mengenai motif di sebalik insiden tembakan itu sedang dijalankan. – Bernama
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001