KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk rasuah atau penyelewengan sekiranya siasatan mendapati wujud salah laku dalam pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) di syarikat pemula teknologi akuakultur, eFishery.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun laporan awal menunjukkan tiada petunjuk berhubung kewujudan unsur rasuah atau penyelewengan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap keseluruhan proses pelaburan bagi memastikan setiap keputusan dibuat mengikut tatakelola ditetapkan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan tidak akan membuat sebarang andaian awal sehingga proses siasatan selesai dan semua aspek berkaitan pelaburan berkenaan diteliti secara terperinci.
Menurutnya, beliau sendiri telah mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan KWAP bagi menegaskan keperluan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan.
“Saya telah menemui pengurusan KWAP untuk menyatakan mereka perlu memberi kerjasama sepenuhnya.
“Walaupun berdasarkan laporan awal yang saya lihat, saya percaya tidak ada unsur-unsur sedemikian, namun saya ingin menegaskan kita tidak boleh bertolak ansur sekiranya terdapat penyelewengan atau rasuah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Anwar berkata, atas sebab itu SPRM perlu meneliti keseluruhan proses pelaburan, termasuk mekanisme membuat keputusan oleh panel pelaburan sebelum ia dipersetujui oleh lembaga pengarah.
Beliau menegaskan, langkah itu penting bagi memastikan setiap pelaburan yang melibatkan dana persaraan negara dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mematuhi prinsip tadbir urus yang baik.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda yang meminta kerajaan menjelaskan strategi bagi memastikan dana persaraan negara seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP terus mampu memberikan pulangan yang kompetitif kepada pencarum walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global.
Menjawab soalan itu, Anwar berkata, kerajaan sentiasa menitikberatkan aspek pengurusan risiko dalam setiap keputusan pelaburan supaya dana persaraan kekal berdaya tahan serta mampu menjana pulangan yang mampan dalam jangka panjang.
Beliau berkata, pendekatan kepelbagaian portfolio pelaburan dan pemantauan berterusan terhadap prestasi aset merupakan antara langkah penting bagi memastikan kepentingan pencarum terus terpelihara walaupun pasaran global berdepan cabaran.
Pada masa sama, Anwar turut menjawab soalan tambahan daripada Senator Wan Martina Wan Yusoff yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang melaksanakan transformasi terhadap kaedah pemilihan syarikat yang menjadi destinasi pelaburan pada masa hadapan selain jaminan bahawa wang rakyat akan terus dilindungi.
Mengulas perkara itu, beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha memperkukuhkan proses penilaian pelaburan serta amalan tadbir urus institusi yang menguruskan dana awam bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara profesional, telus dan berdasarkan penelitian yang menyeluruh.
Menurutnya, aspek akauntabiliti akan terus diperkasakan agar sebarang pelaburan melibatkan dana persaraan negara benar-benar memenuhi piawaian yang ditetapkan serta mampu memberikan pulangan terbaik tanpa mengabaikan faktor keselamatan dana.
Beliau menegaskan, kerajaan akan terus memastikan setiap institusi pengurusan dana awam mematuhi prinsip integriti dan ketelusan, selain tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya siasatan mendapati berlaku salah guna kuasa, rasuah atau penyelewengan dalam mana-mana urusan pelaburan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
