IPOH – Polis menyiasat kes khianat harta benda di sebuah sekolah menengah selepas beberapa meja dan kerusi ditemukan terbakar dalam sebuah kelas di Kampar, semalam.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supt. Mohamad Nazri Daud berkata, kejadian itu disedari kira-kira jam 10.30 pagi oleh seorang pengawas sekolah yang sedang melakukan pemantauan kelas ketika waktu rehat.
Beliau berkata, pengawas itu terhidu bau asap sebelum membuat pemeriksaan di sebuah kelas dan mendapati sebuah kerusi plastik terbakar.
“Pengawas berkenaan kemudian memaklumkan kejadian itu kepada guru yang berada di kawasan sekitar dan kebakaran berjaya dipadamkan menggunakan kain basah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohamad Nazri berkata, siasatan polis di lokasi kejadian mendapati kebakaran berlaku di sebuah kelas yang terletak di hujung bangunan tiga tingkat sekolah berkenaan.
Katanya, ketika kejadian tiada pelajar berada di blok tersebut kerana mereka diarahkan menghadiri program kaunseling di dewan sekolah.
“Hasil siasatan awal mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan setakat ini tiada saksi tampil serta tiada individu dikenal pasti sebagai suspek,” katanya.
Mohamad Nazri berkata, pihak sekolah turut menjalankan siasatan dalaman, namun gagal mengenal pasti individu yang bertanggungjawab dan sehubungan itu, satu laporan polis dibuat untuk rujukan dan membantu siasatan lanjut.
Menurut beliau, kes disiasat sebagai khianat selain usaha mengesan individu yang terlibat.
Terdahulu, seorang pempengaruh media sosial memuat naik satu hantaran memaklumkan dia menerima maklumat kes khianat di sebuah sekolah di Kampar, Perak. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L