Dari Meja Editorial
KEPUTUSAN lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Melaka meletakkan jawatan daripada semua jawatan disandang dalam pentadbiran kerajaan negeri membuka satu episod baharu dalam landskap politik Melaka.
Walaupun mereka tidak menarik diri sebagai ADUN atau keluar daripada kerajaan, tindakan itu memberi isyarat wujud perbezaan pendirian terhadap cadangan kerajaan negeri untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Langkah itu dilihat sebagai bantahan terbuka terhadap cadangan berkenaan, yang menunjukkan DAP mempunyai pandangan tidak sama dengan kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) mengenai pelaksanaan mekanisme tersebut.
Dari sudut politik, tindakan melepaskan jawatan dalam pentadbiran kerajaan merupakan satu bentuk tekanan kepada kepimpinan kerajaan negeri tanpa menggugat kedudukan kerajaan secara langsung.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh segera meredakan spekulasi apabila menegaskan, peletakan jawatan lima ADUN DAP itu langsung tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.
Menurut beliau, kerajaan BN masih mempunyai majoriti yang kukuh, termasuk dua pertiga di Dewan Undangan Negeri, sekali gus membawa mesej jelas kestabilan kerajaan Melaka tidak bergantung kepada kedudukan lima ADUN DAP itu dalam barisan pentadbiran.
Kenyataan Ab. Rauf itu ada asas yang kukuh, iaitu selagi lima ADUN DAP tersebut tidak menarik balik sokongan kepada kerajaan atau bertindak sebagai pembangkang, kedudukan kerajaan negeri tidak berubah.
Majoriti yang dimiliki kerajaan BN Melaka masih mencukupi untuk meluluskan dasar, belanjawan dan sebarang usul di Dewan Undangan Negeri.
Cadangan pelantikan ADUN selepas pilihan raya menjadi titik pertikaian utama dalam isu ini. Bagi pihak yang menyokong cadangan tersebut, pelantikan boleh dilihat sebagai satu mekanisme untuk memperkukuhkan pentadbiran dan memastikan lebih ramai wakil rakyat terlibat dalam proses membuat keputusan.
Namun, bagi pihak yang membantah, ia mungkin dianggap bercanggah dengan prinsip demokrasi atau tidak selari dengan semangat mandat yang diberikan oleh rakyat melalui pilihan raya.
Tindakan DAP memilih untuk menyatakan bantahan melalui peletakan jawatan dalam pentadbiran, sebenarnya tidak akan mencetuskan krisis politik yang boleh menyebabkan kerajaan kehilangan majoriti.
Bagi BN, kenyataan Ketua Menteri menunjukkan keyakinan kerajaan negeri masih berada dalam keadaan stabil. Dengan majoriti yang dimiliki, BN dilihat tidak berdepan ancaman kehilangan kuasa walaupun berlaku perbezaan pandangan dengan rakan dalam kerajaan.
Bahkan, Melaka tanpa lima ADUN DAP ini pun masih mempunyai majoriti dua pertiga dan pentadbiran negeri diteruskan seperti biasa, seolah kumpulan ini seperti tidak ada.
Dengan kata lain, mesej yang hendak disampaikan ialah BN tidak berada dalam kedudukan yang terdesak untuk bergantung kepada DAP dalam urusan pentadbiran negeri.
Namun, berdasarkan keadaan semasa, krisis ini lebih bersifat krisis pentadbiran berbanding krisis kerajaan dengan lima ADUN DAP ini masih kekal sebagai wakil rakyat dan tidak mengumumkan penarikan sokongan terhadap pentadbiran Ketua Menteri.
Ini bermakna kerajaan negeri masih mempunyai legitimasi untuk terus mentadbir tanpa sebarang perubahan kepada kedudukan majoriti di Dewan Undangan Negeri.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L