KUALA PILAH – Pakatan Harapan (PH) secara rasmi mengumumkan senarai penuh 36 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi merebut mandat rakyat dalam pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pengumuman Calon PH yang berlangsung di Dataran Melang, Kuala Pilah, malam tadi.
Majlis berkenaan dihadiri barisan kepimpinan tertinggi gabungan serta disaksikan ribuan penyokong yang hadir memberikan sokongan kepada calon-calon yang bakal bertanding.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amiruddin Shaari; serta Ketua Penerangan PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Anwar berkata, barisan calon yang dipilih adalah gabungan antara muka baharu dan pemimpin berpengalaman dari tiga parti komponen utama PH, iaitu PKR, DAP dan Amanah.
Pemilihan calon dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk rekod perkhidmatan, penerimaan rakyat, kemampuan membawa agenda pembangunan serta keupayaan memperkukuhkan kedudukan PH di Negeri Sembilan.
Senarai yang diumumkan turut menampilkan beberapa tokoh utama gabungan, termasuk Anthony Loke yang akan mempertahankan kerusi DUN Chennah.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pula diletakkan sebagai calon di DUN Linggi, manakala beberapa penyandang lain turut diberi kepercayaan untuk mempertahankan kerusi masing-masing.
Selain mengekalkan beberapa nama yang berpengalaman, PH turut mempertaruhkan beberapa muka baharu sebagai usaha menyuntik pembaharuan dalam barisan kepimpinan negeri sekiranya terus diberikan mandat mentadbir Negeri Sembilan.
Senarai penuh calon PH bagi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan ialah Anthony Loke (DUN Chennah), Mohd Umry Abdul Khois (Pertang), Zainal Fikri Abd Kadir (Sungai Lui), Datuk Bakri Sawir (Klawang), Yaacob Mahmood (Serting), Muhammad Zahin Zainal Abidin (Palong) dan Manivanan Gown (Jeram Padang).
Teo Kok Seong di DUN Bahau, Zarinna Abu Zarin (Lenggeng), J. Arul Kumar (Nilai), Chew Seh Yong (Lobak), Ho Weng Wah (Temiang), Nor Azman Mohamad (Sikamat), Datuk Muhammad Nazri Kassim (Ampangan), Mohd Aidil Abdullah (Juasseh), Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa (Seri Menanti) dan Mohd Hanis Mohd Alimin (Senaling).
Turut dicalonkan, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim (Pilah), Mohd Zailan Mohd Munawar (Johol), Ahmad Faez Abdul Razak (Labu), Nicol Tan Lee Koon (Bukit Kepayang), Siau Meow Kong (Rahang), Lee Kai Yet (Mambau), S. Mugunthan (Seremban Jaya).
Ahmad Shahir Mohd Shah (Paroi), Danish Nazran Murad (Chembong), Dr. Azizul Hakim Mahdi (Rantau), Muhammad Allif Ibrahim (Kota), Yew Boon Lye (Chuah), Choo Ken Hwa (Lukut) dan Nasir Raman (Bagan Pinang).
Aminuddin Harun akan bertanding di DUN Linggi, manakala Dr G. Rajassekaran dipertaruhkan di Sri Tanjung, manakala Siti Aishah Seman Othman di Gemas, Abd Latif A. Tambi di Gemencheh dan S. Veerapan di Repah.
Pengumuman tersebut menandakan PH kini bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pertandingan di semua 36 kerusi DUN Negeri Sembilan dalam usaha mempertahankan pentadbiran negeri yang diterajui gabungan itu bersama Barisan Nasional menerusi Kerajaan Perpaduan.
Pilihan Raya Negeri kali ini dijangka menyaksikan persaingan sengit antara Kerajaan Perpaduan yang dianggotai PH dan BN dengan Perikatan Nasional (PN), khususnya di beberapa kerusi campuran serta kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu ini, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 28 Julai sebelum hari pengundian rasmi pada 1 Ogos.
Tempoh berkempen yang ditetapkan dijangka menjadi pentas kepada semua parti politik untuk menawarkan manifesto dan meyakinkan pengundi menjelang hari pengundian.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L