Oleh: Siti Khadijah Manudin
PONTIAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi jaminan bahawa kerajaan negeri Johor akan terus bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan sekiranya BN diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Putrajaya penting bagi memastikan kestabilan politik, mempercepat pelaksanaan dasar serta menjamin pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat Johor.
Menurut Ahmad Zahid, BN tidak pernah berniat untuk mewujudkan pertentangan antara pentadbiran negeri dan pusat, malah komited memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan melalui kerjasama yang berterusan.
“Sekiranya rakyat terus memberi mandat kepada BN, kerajaan Johor akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan seluruh rakyat negeri ini,” katanya ketika berucap pada Perjumpaan Kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Johor di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pontian.
Timbalan Perdana Menteri itu turut mengingatkan semua pihak agar tidak memainkan sentimen politik dengan mendakwa hanya wakil daripada satu gabungan tertentu mampu menjamin hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau sebaliknya menggesa semua calon dan penyokong supaya menjalankan kempen secara matang, berhemah dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kestabilan politik serta pembangunan negeri.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan semua agensi kerajaan yang terlibat dalam memastikan proses PRN Johor berlangsung dengan lancar, aman dan teratur.
Beliau turut memuji peranan KEMAS dalam membangunkan masyarakat luar bandar serta menyatakan hasrat untuk menambah baik skim perkhidmatan kakitangan jabatan itu melalui cadangan yang akan dikemukakan kepada kerajaan.
Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L