Amanah dakwa PAS catur kuasa di Johor,berisiko cetus ketidakstabilan politik

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa tindakan PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor (PRN Johor) ke-16 lebih menjurus kepada percaturan politik untuk meraih kuasa berbanding menawarkan agenda pembangunan yang diperlukan rakyat negeri itu.

Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bahawa matlamat parti itu adalah memastikan Johor diterajui oleh orang Melayu Islam menunjukkan PAS masih memainkan sentimen kaum dan agama, sedangkan keutamaan rakyat ialah kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan.

Menurut beliau, kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggesa ahli PAS mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pula memberi isyarat bahawa PAS sedang membuka ruang untuk menyertai pentadbiran negeri sekiranya BN membentuk kerajaan.

Beliau mendakwa perkembangan itu memperlihatkan konflik hala tuju dalam PAS yang boleh mencetuskan ketidakstabilan politik di Johor.

Faiz berkata, rekod politik PAS sebelum ini turut menunjukkan parti berkenaan sering menjadi faktor kepada ketidaktentuan politik negara, termasuk penglibatannya dalam Langkah Sheraton serta hubungan yang didakwa tidak konsisten dengan parti-parti dalam PN.

“PAS dilihat masih bersama Bersatu dalam gabungan PN, namun pada masa sama mengumumkan tidak akan membantu Bersatu dalam PRN Johor. Keadaan ini menggambarkan pendirian politik yang tidak konsisten dan lebih berorientasikan percaturan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mendakwa PAS mengutamakan kepentingan politik berbanding prinsip perjuangan apabila kerap mengubah pendirian terhadap rakan gabungan mengikut keadaan semasa.

Dalam masa sama, Faiz berkata kenyataan bekas Presiden MCA, Chua Soi Lek mengenai kepentingan undi masyarakat Cina bagi menghalang PAS menawan Putrajaya turut mencerminkan kebimbangan terhadap pendekatan politik PAS.

Menurutnya, keadaan itu berpotensi menjejaskan kestabilan pentadbiran sekiranya PAS terus mencari ruang untuk bekerjasama dengan UMNO sehingga menjejaskan persefahaman dalam BN.

Mengambil contoh perkembangan politik di Itali, beliau berkata perubahan gabungan yang kerap dilakukan oleh parti Five Star Movement antara 2018 hingga 2021.

Akibat tindakan itu ia telah menyebabkan ketidakstabilan pentadbiran dan akhirnya menyumbang kepada kemerosotan sokongan rakyat.

Sehubungan itu, Faiz menyeru rakyat Johor memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir negeri berkenaan atas alasan kestabilan politik merupakan asas kepada pembangunan yang mampan.

Beliau berkata kerajaan MADANI pimpinan Anwar Ibrahim telah menunjukkan komitmen terhadap pembangunan Johor menerusi pelbagai projek strategik, termasuk Landasan Berkembar Elektrik Johor Bahru-Gemas, Perkhidmatan Shuttle Selatan, RTS Link serta projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART), yang menurutnya melibatkan pelaburan puluhan bilion ringgit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *