KDN Beri Amaran Salah Guna BDR

Olahan Fatin Sajidah Fathuldin

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan amaran keras kepada kakitangannya agar tidak menyalahgunakan platform media sosial untuk memuat naik kandungan yang berupaya menjejaskan kredibiliti perkhidmatan awam sepanjang tempoh Bekerja Dari Rumah (BDR).

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Awang Alik Jeman menegaskan bahawa tindakan disiplin tanpa kompromi menanti mana-mana pegawai yang dikesan mempamerkan aktiviti peribadi sehingga menimbulkan persepsi negatif masyarakat.

Beliau memberi amaran supaya hantaran yang menunjukkan pegawai sedang beriadah atau berada di pusat beli-belah ketika waktu bekerja dihentikan serta-merta bagi memelihara integriti kementerian.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh memberi persepsi negatif terhadap penjawat awam. Jika dikesan, tindakan tetap akan diambil,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

Awang Alik turut mengingatkan bahawa kemudahan BDR merupakan instrumen bagi menjamin kelangsungan tugas dan bukannya alasan untuk gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan.

Tegas beliau, setiap warga kementerian perlu memikul tanggungjawab penuh dalam mengekalkan etika kerja yang tinggi bagi memastikan imej penjawat awam sentiasa dipandang mulia oleh rakyat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *