Pegawai Polis Berpangkat DSP Ditahan, Disyaki Dalang Samun RM4.4 Juta

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan seorang pegawai kanan berpangkat Deputi Superintenden (DSP) yang disyaki menjadi dalang kepada beberapa siri samun bersenjata melibatkan kerugian kira-kira RM4.4 juta di sekitar Kepong, Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pegawai terbabit pernah berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan telah digantung tugas sejak 23 Januari lalu.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memainkan peranan penting dalam merancang serta menyelaras pergerakan kumpulan jenayah tersebut, termasuk mengatur operasi samun yang dijalankan.

Terdahulu, enam lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 51 tahun, termasuk pegawai polis berkenaan dan dua pengawal peribadi telah ditahan berikutan tiga kejadian samun di kediaman warga asing.

Dalam kejadian dilaporkan berlaku antara jam 5.30 pagi hingga 7.30 pagi itu, kumpulan suspek dikesan menyamar sebagai anggota polis untuk memecah masuk kediaman dua mangsa warga China dan seorang wanita warga Indonesia.

Malah, seorang daripada suspek turut dikesan mengacu objek menyerupai pistol bagi menakutkan mangsa sebelum melarikan pelbagai barangan berharga.

Sindiket terbabit melarikan tiga kenderaan mewah jenis Rolls-Royce, Bentley dan Toyota Alphard, selain sebuah peti besi, wang tunai RM24,200, mata wang asing bernilai AS$1,200, pelbagai barang kemas serta dua jongkong emas.

Selain penglibatan anggota berkenaan, Fadil berkata polis turut mendapati dua pengawal peribadi yang ditahan itu telah menyalahgunakan senjata api yang dilesenkan secara sah semasa melakukan siri samun terbabit.

Beliau memberi amaran bahawa polis akan mengambil tindakan paling tegas berhubung jenayah itu tanpa memihak kepada mana-mana pangkat atau kedudukan.

Keenam-enam suspek kini direman tujuh hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395, 397 dan 170 Kanun Keseksaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *