MELAKA – Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi bayangan kemungkinan beliau bersama 18 Ahli Parlimen yang menyokong agenda ‘Reset’ akan memilih untuk menyertai sebuah parti politik sedia ada sebagai platform perjuangan mereka.
Ahli Parlimen Larut itu bagaimanapun tidak mendedahkan parti yang dimaksudkan, namun menegaskan cadangan untuk menubuhkan parti baharu bukanlah pendekatan terbaik dalam keadaan politik semasa.
Menurutnya, usaha memperkukuh serta melakukan pembaharuan terhadap parti sedia ada dilihat lebih praktikal dan relevan bagi memastikan kestabilan serta kesinambungan politik negara.
Sehubungan itu, beliau menegaskan fokus utama ketika ini adalah untuk memastikan parti yang dipilih mampu kekal relevan, mendapat kepercayaan rakyat serta berdaya saing dalam jangka masa panjang.
“Parti tidak boleh sekadar menjadi platform pertemuan atau aktiviti semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan sebagai satu perjuangan yang jelas dan berprinsip.
“Ada orang tanya saya, (nak tubuh) parti baharu atau (sertai) parti lama… saya nak katakan, saya tak bersetuju untuk kita menubuhkan parti baharu, tetapi kalau kita masuk parti lama dan kita perbesarkan, itu saya bersetuju.
“Yang penting kita buktikan rumah yang kita masuk nanti adalah satu-satunya yang akan kita perbesar dan ‘resetkan’ untuk menjadi wadah perjuangan membela nasib agama, bangsa dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Jamuan Pagi Raya anjuran Sekretariat Reset Melaka di Peringgit Point, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Sekretariat Reset Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Ditanya mengenai desas-desus menyertai PAS, Hamzah yang dipecat daripada BERSATU memaklumkan beliau masih belum pasti untuk menyertai parti pembangkang itu.
“Kita dalam politik ni, desas-desus itu bukan kepastian. Jadi sebab itu saya (memilih untuk) tak menjawab (mengulas lanjut),” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah mengesahkan Reset Melaka akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya Disember depan.
“Sudah pasti (Reset Melaka sertai PRN), sebab Melaka perlukan mereka yang berwawasan untuk mentadbir negeri,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L