Olahan Fatin Sajidah Fathuldin
SEREMBAN – Sebuah rumah milik keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, Datuk P. Gunasekaran di Kampung Baru Rahang musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran yang berlaku malam tadi.
Insiden sekitar jam 9 malam itu dipercayai berlaku ketika penghuni rumah, iaitu adik beliau P. Minnal Veeran bersama isteri dan dua anak tiada di kediaman kerana keluar makan, sekali gus menyelamatkan mereka daripada sebarang kecederaan.
“Rumah lama itu banyak kenangan. Kami adik-beradik dulu tinggal bersama, namun selepas saya membeli sebuah rumah lain, adik pula yang tinggal di sini bersama keluarganya.
“Saya anggarkan kerugian lebih kurang RM40,000 kerana banyak barang berharga termasuk peralatan katering, barangan elektrik dan barangan lama di rumah itu, yang tidak dapat diselamatkan,” katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata buat masa ini adiknya tinggal di rumah anak perempuannya di Senawang dan punca siasatan masih dalam siasatan.
Komander Operasi, Helmi Mohd Fauzi berkata, pihaknya tiba di lokasi tujuh minit selepas menerima panggilan jam 10 malam. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.52 malam tanpa melibatkan sebarang kemalangan jiwa, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.
Sebanyak 13 anggota bomba dari BBP Seremban dan BBP Ampangan berjaya mengawal kebakaran sebuah rumah berkeluasan 30 x 50 kaki persegi yang hangus 95 peratus, malam tadi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L