Perang Asia Barat: Jumlah terkini angka korban di seluruh rantau

DUBAI – Sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu, konflik merebak ke seluruh Asia Barat dengan angka korban turut dilaporkan di beberapa negara di rantau ini.

AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas semua jumlah mangsa, namun maklumat dikongsi ini berdasarkan data yang dikeluarkan oleh kerajaan, tentera, pihak berkuasa kesihatan dan organisasi penyelamat di negara terjejas.

Iran

Di Iran, kerajaan tidak mengeluarkan angka korban keseluruhan terkini dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA) yang berpangkalan di AS menyatakan pada 28 Mac bahawa sekurang-kurangnya 3,461 orang terbunuh, termasuk 1,551 orang awam.

Menurutnya, antara mangsa yang terkesan ialah sekurang-kurangnya 236 kanak-kanak dan 1,208 anggota tentera, termasuk 702 individu yang statusnya belum diklasifikasikan.

Disebabkan sekatan pelaporan, AFP tidak dapat mengakses lokasi serangan atau mengesahkan angka korban secara bebas di Iran.

Lubnan

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan pada 29 Mac bahawa 1,238 orang terbunuh sejak perang bermula termasuk 124 kanak-kanak.

Menurut kementerian itu, angka korban turut membabitkan 52 petugas kesihatan dan penyelamat, manakala 3,543 orang cedera.

Sumber sama menyatakan tiga wartawan turut terkorban, termasuk seorang wartawan kanan stesen televisyen Al-Manar milik Hizbullah yang maut di selatan negara itu pada 28 Mac.

Tentera Lubnan pula memaklumkan tujuh anggotanya terbunuh, manakala Hezbollah tidak mengumumkan jumlah kehilangannya.

Israel

Pada masa sama, perkhidmatan kecemasan dan pihak berkuasa Israel mendakwa serangan telah mengorbankan 19 orang awam sejak perang bermula.

Serangan peluru berpandu Iran dilaporkan membunuh 14 rakyat Israel, termasuk empat kanak-kanak, dan seorang penjaga warga Filipina serta seorang warga Thailand.

Dua orang awam terbunuh di utara akibat serangan roket Hezbollah dari Lubnan, manakala seorang lelaki maut berhampiran sempadan Lubnan akibat tembakan artileri Israel yang berpunca daripada kesilapan operasi.

Perkhidmatan kecemasan Magen David Adom Israel, memaklumkan lebih 450 orang cedera sejak Iran melancarkan serangan balas peluru berpandu.

Tentera Israel turut mengesahkan lima anggotanya terbunuh dalam pertempuran di selatan Lubnan.

Tebing Barat

Dalam pada itu, di Tebing Barat pula, Kementerian Kesihatan Palestin di Ramallah memaklumkan empat wanita terbunuh akibat serangan peluru berpandu Iran di kawasan yang didiami mereka.

Iraq

Di Iraq pula, kumpulan bersenjata dan pegawai memaklumkan sekurang-kurangnya 101 orang terbunuh di negara itu sejak perang bermula, menurut kiraan AFP berdasarkan pengumuman mereka.

Perancis menyatakan sebuah dron Iran membunuh seorang tentera Perancis di wilayah autonomi Kurdistan, Iraq.

Tentera AS turut memaklumkan sebuah pesawat pengisian minyak terhempas di barat Iraq, mengorbankan semua enam kru dalam insiden yang tidak berpunca daripada serangan.

Kumpulan bersenjata pro-Iran dan sumber keselamatan, berkata 67 pejuang yang disokong Iran terbunuh dalam serangan yang mereka dakwa dilakukan AS dan Israel.

Kementerian Dalam Negeri Iraq memaklumkan satu serangan di bandar Mosul mengorbankan dua anggota polis, sambil menyalahkan AS dan Israel.

Kementerian Pertahanan pula menyatakan satu serangan di barat Iraq membunuh tujuh anggota keselamatan.

Tambah pihak berkuasa wilayah Kurdistan, serangan peluru berpandu di wilayah autonomi itu mengorbankan enam pejuang, sambil menuduh Iran melancarkan serangan berkenaan.

Perkhidmatan perisikan Iraq turut memaklumkan seorang pegawai terbunuh pada 21 Mac dalam serangan dron yang menyasarkan sebuah bangunan di kawasan perumahan di Baghdad.

Negara Teluk

Sementara itu, pihak berkuasa negara Teluk dan Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) melaporkan seramai 38 kematian, termasuk 19 orang awam sejak serangan Iran bermula.

Selebihnya terdiri daripada anggota tentera dan keselamatan, termasuk tujuh anggota tentera AS.

Kuwait melaporkan enam kematian melibatkan dua tentera, dua pengawal sempadan dan dua orang awam, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Menurut laporan Kementerian Pertahanan Emiriah Arab Bersatu (UAE), 10 orang maut dalam nahas helikopter akibat kerosakan teknikal, membabitkan lapan orang awam dan dua anggota tentera.

Di Arab Saudi pula dua kematian orang awam dilaporkan, termasuk di Bahrain yang turut mencatatkan jumlah sama.

Pada masa sama, Kementerian Pertahanan UAE memaklumkan seorang kontraktor tentera warga Maghribi terbunuh dalam serangan Iran di Bahrain.

Pusat keselamatan maritim Oman melaporkan seorang pelaut maut di laut dan dua lagi terbunuh dalam serangan dron ke atas kawasan perindustrian.

CENTCOM mengesahkan enam anggota tentera AS terbunuh di Kuwait dan seorang lagi di Arab Saudi.

Korban AS di seluruh Asia Barat

Selain tujuh anggota tentera yang terbunuh di rantau Teluk dan enam di Iraq, tentera AS merekodkan kira-kira 300 anggota cedera, kebanyakannya mengalami kecederaan ringan.

Seorang pegawai AS yang enggan dikenali berkata 10 lagi masih cedera parah di tujuh negara berbeza.

Pada Jumaat, serangan Iran ke atas sebuah pangkalan di Arab Saudi mencederakan sekurang-kurangnya 12 anggota tentera Amerika, termasuk dua yang parah, menurut laporan media AS. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *