WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memecat Kristi Noem dari jawatan ketua jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS (DHS), agensi bertanggungjawab melaksanakan tindakan tegas terhadap pendatang tanpa dokumen.
Trump, menerusi hantaran di Truth Social berkata, Markwayne Mullin, 48, senator Republikan dari Oklahoma akan mengambil alih jabatan berpengaruh itu mulai 31 Mac ini.
Menurut beberapa laporan media, Trump tidak berpuas hati dengan cara Noem mengendalikan operasi besar-besaran terhadap pendatang tanpa dokumen di Minnesota baru-baru ini, yang menyaksikan ejen Imigresen Persekutuan menembak mati dua rakyat AS.
Trump juga dilaporkan berang dengan keterangan Noem pada pendengaran Senat minggu ini apabila beliau menyatakan presiden sendiri meluluskan kempen pengiklanan DHS bernilai AS$220 juta (RM868 juta), yang turut menampilkan dirinya secara meluas.
Trump berkata, Noem, 54, akan dilantik sebagai utusan khasnya bagi inisiatif keselamatan baharu di Hemisfera Barat yang dinamakan ‘The Shield of the Americas’, yang dijangka diumumkan pada Sabtu.
“(Noem) telah berkhidmat dengan baik dan mencapai banyak hasil yang luar biasa (terutama di sempadan!),” kata Trump.
Beliau menyifatkan Mullin sebagai pejuang gerakan ‘Jadikan Amerika Hebat Kembali’ (MAGA) dan berkata, Senator yang menggantikannya akan menjadi Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri yang hebat.
“Markwayne akan bekerja tanpa henti untuk memastikan sempadan kita selamat, menghentikan jenayah pendatang, pembunuh dan penjenayah lain daripada memasuki negara kita secara haram, menamatkan ancaman dadah haram dan menjadikan Amerika selamat semula,” kata Trump.
Pencalonan Mullin bagaimanapun perlu mendapat pengesahan Senat AS, di mana Republikan mempunyai majoriti.
Trump berkempen untuk kembali ke Rumah Putih dengan janji mengusir jutaan pendatang tanpa dokumen dari AS dengan DHS menjadi agensi utama yang melaksanakan dasar pengusiran itu.
Bercakap kepada wartawan, Mullin berkata, tumpuannya adalah memastikan tanah air kekal selamat.
“Saya fikir ada peluang untuk meneruskan kejayaan yang dicapai.
“Pada masa sama, ada juga ruang untuk memperbaiki perkara yang mungkin tidak berjalan seperti dirancang,” katanya.
Noem, menerusi hantaran di X, mengucapkan terima kasih kepada Trump atas pelantikannya sebagai utusan khas dan merujuk kepada apa yang disifatkannya sebagai pencapaian bersejarah di DHS.
“Kami berjaya mewujudkan sempadan paling selamat dalam sejarah AS,” katanya, sambil menambah tiga juta pendatang tanpa izin telah meninggalkan AS. — AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L