Kenyataan Guan Eng tak praktikal, Bumiputera wajib terus dibantu

Ketua Pembangkang Perlu Sokongan Majoriti, Bukan Keputusan Sepihak – Fadhli

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari menegaskan, keabsahan jawatan Ketua Pembangkang tidak boleh ditentukan secara unilateral atau hanya berasaskan tafsiran teknikal peraturan, sebaliknya mesti berpaksikan konsensus serta sokongan majoriti dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.

Menurut beliau, isu kedudukan Ketua Pembangkang yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Jelutong di Dewan Rakyat baru-baru ini tidak seharusnya dipolemikkan secara berpanjangan kerana Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat telah memperincikan asas pelantikan jawatan berkenaan.

Merujuk Peraturan Mesyuarat 4A(3), Fadhli menjelaskan, Ketua Pembangkang ditakrifkan sebagai “Ahli Majlis Mesyuarat yang sedang menjadi Ketua Kumpulan pihak Pembangkang”, sekali gus menunjukkan jawatan itu terikat kepada realiti sokongan politik dan kepercayaan majoriti, bukannya pengumuman atau tafsiran mana-mana pihak secara sepihak.

“Roh peruntukan ini jelas, Ketua Kumpulan ialah individu yang benar-benar memimpin dan mendapat mandat majoriti dalam kalangan blok pembangkang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut menjelaskan, Peraturan Mesyuarat 4A(4) mengiktiraf kemungkinan berlakunya pertikaian mengenai kepimpinan blok pembangkang.

Katanya, dalam situasi sedemikian, peranan Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah untuk membuat keputusan berdasarkan fakta sokongan semasa, bukannya melantik tanpa asas legitimasi politik yang kukuh.

“Sekiranya pelantikan dibuat tanpa rundingan atau tanpa sokongan majoriti Ahli Parlimen pembangkang, keadaan itu sendiri sudah menimbulkan ‘keraguan atau pertikaian’ seperti yang diperuntukkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pendekatan paling selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen ialah membuktikan sokongan majoriti secara terbuka melalui konsensus atau akuan sokongan, bukannya melalui perdebatan teknikal yang berlarutan di dalam Dewan.

Fadhli berkata, prinsip sama terpakai sama ada melibatkan pelantikan baharu atau mengekalkan penyandang sedia ada, termasuk jika majoriti Ahli Parlimen pembangkang bersetuju untuk mengekalkan Ahli Parlimen Larut sebagai Ketua Pembangkang.

“Mana-mana Ahli Parlimen yang bukan daripada pihak kerajaan dan mendapat kepercayaan majoriti blok pembangkang wajar diiktiraf sebagai Ketua Pembangkang,” tegas beliau.

Menurutnya, tanpa legitimasi majoriti yang jelas, kedudukan Ketua Pembangkang akan kekal rapuh dari sudut semangat demokrasi berparlimen walaupun tampak teratur dari segi prosedur.

“Ketua Pembangkang mesti lahir daripada kehendak kolektif blok pembangkang, bukan hasil tafsiran sempit atau permainan teknikal,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *