KUALA LUMPUR – PAS akan mengambil alih jawatan sebagai ketua pembangkang Dewan Rakyat, yang mana nama Ahli Parlimen berkenaan akan dimaklumkan kemudian.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata perkara berhubung jawatan ketua pembangkang baharu dipersetujui parti-parti komponen PN dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN, hari ini.
“Perkara itu ada dibangkitkan dan telah diputuskan supaya diberi sedikit masa difikirkan perkara itu terutama apabila secara rasminya pihak parti-parti anggota ini bersetuju kerusi ketua pembangkang dipegang oleh PAS sebagai parti terbesar dalam Parlimen.
“Tetapi, belum ada keputusan lagi kerana PAS memerlukan sedikit masa untuk meneliti perkara ini,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat itu di ibu pejabat PAS petang tadi.
Takiyuddin berkata, mesyuarat yang berlangsung selama satu jam itu berjalan harmoni dan dihadiri semua Ahli Majlis Tertinggi (MT) PN.
Dalam perkembangan lain, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS memaklumkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kekal sebagai ahli MT selepas dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN.
“Saya dimaklumkan BERSATU bahawa Muhyiddin dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN.
“Semua jawatan timbalan kekal kecuali Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang tidak berhasrat berada dalam MT,” katanya.
Takiyuddin turut berkata mesyuarat PN akan diadakan dalam masa terdekat bagi meneliti semula jawatan yang kosong sebelum ini, selepas mendapat arahan daripada Ahmad Samsuri.
Terdahulu, Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Parlimen Kemaman sebulat suara dipilih sebagai Pengerusi baharu PN dalam mesyuarat MT PN petang ini, susulan peletakan jawatan Muhyiddin berkuat kuasa 1 Januari lalu.
PAS ketika ini memiliki 43 Ahli Parlimen, diikuti enam oleh BERSATU dan 18 Ahli Parlimen bersama Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L