Ziarah Seni MADANI: Finas Menyantuni Shamsul Ghau Ghau dalam Detik Ujian

Oleh: Editorial Seni Sastera

DALAM suasana sederhana yang sarat dengan makna persaudaraan, kunjungan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac ke kediaman pelawak dan pelakon terkenal, Shamsul Ghau Ghau, di Bandar Baru Bangi Jumaat lalu, tampil sebagai cerminan jelas komitmen berterusan Finas untuk sentiasa hadir bersama penggiat industri seni, bukan sahaja ketika gemerlapan kejayaan, tetapi juga saat mereka diuji dengan kesulitan hidup.

Menurut Hans, sumbangan yang disampaikan dalam program Ziarah Seni Madani itu bukan sekadar bantuan berbentuk material, sebaliknya lahir daripada rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap nasib rakan seperjuangan dalam dunia seni yang tidak terlepas daripada ujian kesihatan dan cabaran kehidupan.

“Kita tidak pernah tahu bila sahabat-sahabat kita dalam industri akan berdepan kesusahan atau diuji dengan masalah kesihatan. Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk bersama mereka, bukan hanya ketika berada di puncak kejayaan, tetapi juga ketika mereka melalui detik sukar,” katanya kepada pemberita.

Beliau menegaskan, dalam ekosistem seni, tiada pemisahan darjat antara artis ternama, pengarah mahupun kru di belakang tabir kerana semua mereka adalah nadi yang menggerakkan industri secara kolektif dan atas prinsip itu, Finas berpegang teguh, tiada ruang untuk layanan berbeza atau ‘double standard’ dalam menghulurkan bantuan.

“Kita berdiri bersama industri ini secara holistik dan itu adalah amanah yang digalas oleh Finas,” ujar beliau lagi.

Kunjungan tersebut turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas, Rozaidi Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi, dengan Hans sendiri menyampaikan sumbangan tunai sebagai tanda sokongan moral dan kebersamaan.

Sebelum ini, Shamsul Ghau Ghau atau nama sebenarnya Shamsul Azahar Aliddin, dilaporkan baru selesai menjalani pembedahan membuang darah beku di bahagian otak kiri akibat pendarahan dan kini sedang menjalani proses pemulihan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAA), Serdang.

Pelawak berusia 58 tahun itu masih memerlukan pemantauan serta sokongan rapi, khususnya dalam tempoh 90 hari pertama pemulihan seperti yang dinasihatkan oleh doktor, selain turut berdepan kesukaran pertuturan susulan insiden berkenaan.

Bagi isterinya, Sharifah Azrinah, 52, kehadiran Finas dan rakan industri bukan sahaja membawa bantuan, malah menjadi sumber kekuatan emosi buat keluarga mereka dalam mengharungi fasa sukar ini.

“Saya amat menghargai keprihatinan Finas serta rakan industri yang hadir memberi sokongan. Bantuan dan doa mereka sangat bermakna buat kami sekeluarga,” katanya dengan nada penuh kesyukuran.

Di sebalik tawa yang pernah menghiburkan jutaan penonton, kunjungan ini mengingatkan dunia seni juga terikat dengan nilai kemanusiaan, empati dan persaudaraan, nilai yang terus hidup apabila industri memilih untuk saling menjaga antara satu sama lain. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *