KUALA LUMPUR – Pertembungan terbuka antara dua parti utama Perikatan Nasional (PN) tercetus apabila Ketua Penerangan Pas, Fadhli Shaari membidas keras tuduhan Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail yang melabel Pas sebagai parti “tamak” dan “gila jawatan”.
Tun Faisal sebelum ini mendakwa, Pas bersikap tamak dalam pembahagian jawatan politik dalam gabungan PN, satu dakwaan yang disifatkan Fadhli sebagai tidak berasas dan bersifat songsang daripada realiti sebenar.
Menurut Fadhli, jika Pas benar-benar tamak, parti itu tidak akan menyerahkan beberapa jawatan strategik kepada Bersatu walaupun Pas adalah parti yang memiliki jumlah kerusi Parlimen paling banyak dalam PN hasil Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Jika Pas tamak, Pas tidak akan serahkan jawatan Ketua Pembangkang kepada parti lain, walhal Pas mempunyai kerusi paling banyak,” tegas beliau dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengingatkan, Pas juga tidak menuntut jawatan Pengerusi PN sejurus selepas PRU15, walaupun dari sudut matematik politik, parti itu mempunyai legitimasi untuk berbuat demikian.
“Pas hanya membangkitkan soal Pengerusi PN selepas melihat arah tuju Bersatu yang semakin membimbangkan dan memberi kesan kepada kestabilan serta masa depan PN,” katanya.
Fadhli mendakwa, Pas bertindak demi menyelamatkan keadaan dan memastikan gabungan itu berada pada landasan betul menjelang PRU16, bukan didorong oleh kerakusan kuasa seperti yang dituduh.
Dalam masa sama, beliau menyindir beberapa pemimpin Bersatu yang disifatkan lebih mementingkan kepentingan peribadi.
“Anda dan beberapa kerat pemimpin anda yang tamak. Masuk Bersatu pada tahun 2023 selepas PRU, kemudian pandai-pandai melabel Pas sebagai tamak dan pemimpinnya gila jawatan,” katanya.
Fadhli menegaskan, Pas kekal komited untuk memperkukuhkan PN dan memastikan gerak kerja gabungan itu benar-benar bersedia menghadapi PRU16, namun mempersoalkan kesungguhan pihak tertentu dalam Bersatu ke arah matlamat tersebut.
Ketegangan terbuka antara dua sayap penerangan ini dilihat mencerminkan keretakan yang semakin jelas dalam PN, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keutuhan gabungan itu dalam menghadapi cabaran politik akan datang. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
