KUALA LUMPUR – Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dinaikkan pangkat ke jawatan Jeneral dan dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu berkuat kuasa esok.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari lalu serta telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, semalam.
Menurut beliau, pengalaman luas yang dimiliki Malek Razak diyakini mampu memperkukuh kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menghadapi cabaran pertahanan negara yang semakin kompleks.
“Pelantikan ini diharap dapat memulihkan serta memperkasakan semula wibawa ATM melalui kepimpinan yang berteraskan integriti dan profesionalisme, di samping mengekalkan keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malek Razak, 59, memiliki latar belakang akademik dalam bidang pertahanan dan keselamatan, termasuk Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Pengajian Pertahanan dari King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari UKM.
Beliau memulakan kerjaya ketenteraan pada 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom, sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 11 Disember 1987.
Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, Malek Razak telah berkhidmat dalam pelbagai pasukan dan jawatan, bermula sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), selain memegang pelbagai jawatan di peringkat pemerintah dan staf.
Jawatan terakhir beliau sebelum pelantikan ini ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat.
Sebelum ini, jawatan Panglima Angkatan Tentera dipangku oleh Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain, susulan persaraan wajib penyandang terdahulu, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Untuk rekod, Mohd Nizam, 60, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Januari lalu atas pertuduhan salah guna kuasa bagi mendapatkan suapan dan wang berjumlah lebih RM752,000 serta pecah amanah melibatkan RM3 juta.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah terhadap kesemua empat pertuduhan tersebut dan memohon dibicarakan. Kes itu didengar di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
