Oleh: Dr. Farhana Sabri

BEBERAPA badan masyarakat sivil menyerahkan memorandum kepada Parlimen menuntut reformasi dasar dan perundangan dadah negara, termasuk cadangan berkaitan Akta Dadah Berbahaya dan laluan rawatan pemulihan.
Memorandum tersebut menggariskan tuntutan seperti pemansuhan Seksyen 15(1), pengutamaan rawatan berbanding hukuman untuk pengguna, reformasi saringan klinikal, pembersihan rekod bagi individu yang pulih, akses kanabis perubatan serta kawal selia ketum melalui kerangka undang-undang yang sah dan terkawal.
Perbahasan mengenai reformasi dasar dadah sering tertumpu pada peruntukan undang-undang. Namun di lapangan, isu yang lebih kritikal ialah ketidakseragaman pelaksanaan apabila agensi masing-masing bergerak dengan rujukan yang berbeza.
Maka, mesej yang sampai kepada masyarakat juga menjadi bercampur antara “merawat” dan “menghukum”.
Negara memerlukan Dasar Dadah Negara yang “hidup”
Akta 283 (Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan 1983), yang dikuatkuasakan secara rasmi pada 22 Ogos 2025, membawa Malaysia ke peringkat baharu dalam sejarah negara dengan matlamat untuk memperluaskan spektrum rawatan dan pemulihan serta membezakan tafsiran untuk pelbagai kategori klien.
Tetapi Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) mengekalkan hukuman. Inilah sebab percanggahan yang sering dibangkitkan oleh penggiat dasar: satu akta menggalakkan rawatan dan pemulihan, tetapi yang lain mengekalkan hukuman jenayah yang berat untuk pemilikan dan penggunaan.
Contohnya, pertuduhan pemilikan sering dirangka di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Keadaan ini mewujudkan realiti dua sistem iaitu, seseorang boleh dilihat sebagai klien yang menerima rawatan di bawah Akta 283, tetapi masih berisiko dilihat sebagai pesalah jenayah di bawah Akta 234.
Ini bergantung kepada bagaimana kes diuruskan, agensi yang terlibat serta pertimbangan penguatkuasaan. Apabila dua sistem berjalan serentak, rawatan di satu sisi dan hukuman di sisi lain, pelaksanaan mudah menjadi tidak konsisten.
Individu yang profilnya lebih sesuai ditangani sebagai isu kesihatan boleh berakhir dengan rekod jenayah, lalu membatasi peluang pekerjaan dan reintegrasi. Ini adalah jenis percanggahan yang memerlukan penyelarasan undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP).
Agensi seperti AADK perlu memainkan peranan peneraju dasar yang lebih tegas untuk memastikan peralihan kepada pendekatan rawatan benar-benar berlaku.
Dasar dadah negara harus sentiasa terkini dan mengikuti perubahan. Dasar berfungsi sebagai rujukan nasional dan membantu agensi bekerjasama untuk rujukan.
Masyarakat akan melihat perubahan yang ketara dalam akses rawatan, pengurangan stigma, dan peningkatan keselamatan komuniti apabila dasar ini jelas. Jika tidak ada kerjasama ini, reformasi hanya boleh menjadi cerita tanpa menyebabkan perubahan yang ketara di dunia sebenar.
Utamakan rawatan daripada hukuman
Undang-undang Malaysia tidak longgar jika rawatan diutamakan daripada hukuman untuk membantu mereka yang terjejas oleh penyalahgunaan dadah atau bahan.
Ia bermakna negara bertindak dengan lebih rasional untuk memastikan orang yang sesuai dimasukkan ke dalam saringan klinikal dan rawatan intervensi lebih awal, yang akan mengurangkan kesan negatif kepada keluarga dan komuniti.
Bagaimanapun, rawatan hanya boleh berjalan dengan baik jika ia disertai dengan sistem yang kukuh, termasuk piawaian diversion yang jelas, piawaian saringan klinikal yang dilakukan oleh profesional, koordinasi rujukan antara agensi, pemantauan pematuhan dan aftercare yang berterusan.
Tanpa aftercare, pemulihan mudah rapuh walaupun rawatan awal berjalan baik. Tambahan lagi, penilaian klinikal perlu menjadi “pintu masuk utama” ke rawatan kerana penggunaan dadah dan bahan dinilai pada spektrum (i.e., penggunaan episodik, penggunaan berisiko, gangguan penggunaan bahan, dan komorbid kesihatan mental).
Salah klasifikasi membawa kesan besar dari segirisiko keselamatan, hak individu, hingga keberkesanan rawatan.
Pembersihan rekod adalah peluang kedua yang adil
Cadangan pembersihan rekod bagi individu yang telah pulih boleh membantu reintegrasi dan pekerjaan. Dua faktor yang sangat penting untuk mengurangkan relapse. Namun, kebimbangan orang awam juga perlu dipertimbangkan.
Justeru, pembersihan rekod wajar dirangka sebagai mekanisme bersyarat dan berperingkat, bukan automatik. Antara prinsip yang wajar dipertimbangkan adalah;
Selesai rawatan/pemulihan dan patuh pelan aftercare
Tempoh stabil/pulih tanpa kesalahan baharu
Penilaian risiko (termasuk faktor keganasan, pengulangan, atau ancaman kepada orang lain)
Pengecualian yang jelas bagi pengedaran/jenayah terancang atau kes berisiko tinggi.
Mekanisme semakan semula jika berlaku perlanggaran.
Kerangka Islam mengimbangkan rahmah dan Amanah
Dalam kerangka Islam, keadilan bukan sekadar belas ihsan kepada individu, tetapi amanah menjaga masyarakat. Al-Quran menegaskan bahawa amanah perlu disampaikan kepada yang berhak dan keputusan hendaklah dibuat dengan adil.
Prinsip ini menuntut reformasi dadah serta polisi dan dasar berkaitan yang menjaga kedua-dua pihak: individu yang berusaha pulih dari masalah dadah dan masyarakat yang berhak hidup aman.
Di samping itu, kaedah “tidak memudaratkan dan tidak membalas mudarat dengan mudarat” mengingatkan bahawa dasar awam mesti mengurangkan bahaya, bukan memindahkannya kepada orang ramai.
Dari sudut Maqasid Syariah, pemeliharaan nyawa dan akal memberi asas bahawa reformasi mesti melindungi keselamatan awam dan pada masa sama memulihkan fungsi insan.
Maka, apabila isu pembersihan rekod dibincangkan, jaminan keselamatan perlu diwujudkan melalui syarat, saringan risiko, pemantauan, dan penetapan sektor/kerja yang memerlukan kawalan tambahan. Inilah bentuk keadilan yang seimbang, iaitu rahmah yang berpagarkan amanah.
Reformasi dasar dadah yang berkesan bukan yang paling keras atau paling longgar. Reformasi terbaik ialah yang selaras dari sudut undang-undang, seragam dari sudut pelaksanaan, dan jelas dari sudut keadilan.
Agensi yang utama harus memimpin dasar yang terkini, dasar yang boleh dirujuk, dan boleh dilaksana, dan semua agensi boleh bergerak sehala. Barulah masyarakat benar-benar merasai perubahan dari segi akses rawatan yang lebih baik, stigma yang berkurangan, dan komuniti yang lebih selamat. – ND
Dr. Farhana Sabri adalah Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
