SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akhirnya mengalah apabila memutuskan untuk membatalkan sementara projek ternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Ini merupakan satu keputusan yang dilihat sebagai pengakuan tidak langsung bahawa perancangan tersebut dibuat tanpa tapisan awam yang mencukupi.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan keputusan itu dibuat selepas bantahan keras penduduk setempat dan tekanan politik yang semakin memuncak, termasuk campur tangan Perdana Menteri.
Menurut Amirudin, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebenarnya sudah mengarahkan pencarian lokasi alternatif sebelum isu itu menjadi polemik nasional.
Namun, pengumuman awal projek berkenaan, yang dibuat tanpa libat urus menyeluruh dengan rakyat, telah mencetuskan kemarahan pelbagai pihak dan membuka kelemahan dalam proses pentadbiran negeri.
Hakikatnya, kerajaan negeri mengakui isu tersebut diumumkan dalam keadaan separuh masak, seolah keputusan muktamad telah dibuat walaupun belum ada kelulusan rasmi atau perbincangan terperinci dengan pengusaha dan komuniti terlibat.
Kesilapan komunikasi ini dilihat memperkukuh persepsi bahawa dasar awam masih boleh digerakkan dari atas ke bawah tanpa persetujuan rakyat.
Lebih menarik, keputusan membatalkan projek ini hanya dimuktamadkan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi Amirudin mencadangkan agar projek itu dihentikan terlebih dahulu demi meredakan keresahan awam dan sensitiviti kaum.
Projek yang kononnya bertujuan menyelesaikan masalah pencemaran ladang babi di Tanjong Sepat sejak lebih sedekad lalu kini dilihat sekadar memindahkan masalah dari satu kawasan ke kawasan lain, tanpa penyelesaian struktural yang jelas.
Campur tangan Istana turut menjadi faktor penting apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, secara terbuka menyuarakan kemurkaan terhadap rancangan penternakan babi berskala besar, khususnya yang berpotensi berorientasikan eksport.
Kebimbangan baginda terhadap impak sosial dan kegagalan kerajaan menangani isu lama sejak 2010 menjadi teguran keras terhadap pentadbiran negeri.
Buat masa ini, kerajaan Selangor memilih untuk berundur selangkah. Namun persoalan besar masih tergantung: Adakah projek ini benar-benar dibatalkan, atau sekadar direhatkan sehingga suasana kembali senyap?
Rakyat kini menunggu sama ada kerajaan akan belajar daripada kesilapan atau mengulanginya di lokasi lain, dengan skrip yang sama.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L