Lima laporan kanak-kanak dipukul di tadika, dua penjaga direman

SUNGAI BULOH – Polis menerima lima laporan berhubung kes penderaan kanak-kanak di sebuah tadika di Saujana Utama, di sini, dan menahan dua wanita bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku antara Julai hingga Ogos tahun lalu, membabitkan empat kanak-kanak berusia lima hingga tujuh tahun.

Menurutnya, dua wanita yang bekerja sebagai penjaga kanak-kanak telah dibenarkan reman selama lima hari oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Majistret Shah Alam bagi membantu siasatan, manakala seorang lagi individu akan dipanggil untuk dirakam keterangan.

“Polis menerima lima laporan semalam di Balai Polis Saujana Utama dan turut merampas satu rakaman video berkaitan kejadian tersebut sebagai bahan bukti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian dan pendedahan kanak-kanak kepada bahaya.

Dalam pada itu, Mohd Hafiz menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kes berkenaan memandangkan siasatan masih berjalan.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Saujana Utama di talian 03-6038 2222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Syahir Abdul Halim di 016-342 3258.

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial oleh seorang individu yang mendakwa memiliki rakaman video menunjukkan anaknya serta beberapa kanak-kanak lain dipercayai didera di sebuah tadika di kawasan Saujana Utama.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *