KUANTAN – Seorang guru wanita kerugian RM325,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon oleh individu yang menyamar sebagai pegawai Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 38 tahun itu menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram serta memiliki beberapa akaun bank yang didaftarkan atas namanya di Johor.
Menurutnya, suspek kemudian mengarahkan mangsa memindahkan sejumlah wang kononnya sebagai wang jaminan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil terhadapnya.
“Mangsa telah membuat sebanyak 21 transaksi pindahan wang menggunakan simpanan peribadi serta pinjaman bank ke lima akaun bank berbeza dalam tempoh 29 September hingga 4 November 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal menghubungi suspek apabila nombor telefon berkenaan disekat dan wang yang dijanjikan untuk dipulangkan tidak diterima.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya tidak panik apabila menerima panggilan daripada individu tidak dikenali, khususnya yang mendakwa mewakili agensi penguat kuasa atau institusi kewangan.
“Orang ramai digesa membuat semakan nombor akaun melalui portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan,” katanya.
Kes disiasat di bawah peruntukan undang-undang berkaitan penipuan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
