Dari Meja Editorial
LANGKAH UMNO menubuhkan entiti yang dinamakan Rumah Bangsa menimbulkan persoalan besar dalam kalangan orang Melayu yang mengikuti perkembangan politik semasa.
Pada satu sisi, ia dipersembahkan sebagai usaha menyatukan kekuatan Melayu dan Islam merentas parti politik dan NGO. Namun, pada sisi lain, ia dilihat sebagai langkah terlewat, reaktif dan sarat dengan kekeliruan matlamat, khususnya apabila dibandingkan dengan usaha terdahulu yang telah digerakkan melalui gagasan Payung Besar Melayu.
Persoalan paling asas yang berlegar ialah, jika UMNO benar-benar ikhlas memperjuangkan penyatuan Melayu, mengapa usaha ke arah itu tidak dilakukan lebih awal, sejurus selepas Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan besar pada PRU ke-13.
Ketika itu, UMNO masih memiliki struktur, jaringan dan pengaruh yang luas untuk memimpin satu penyatuan nasional Melayu-Islam. Namun, peluang tersebut dibiarkan berlalu, dan UMNO memilih untuk bertahan sebagai parti yang terperangkap dalam konflik dalaman, perebutan kuasa serta pendekatan politik yang semakin sempit.
Kekosongan kepimpinan inilah yang akhirnya diisi oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila beliau menggerakkan gagasan Payung Besar Melayu, menghimpunkan pelbagai parti Melayu dan NGO Islam tanpa mengira saiz dan latar belakang.
Apa yang mengundang rasa tidak senang dalam kalangan pemerhati politik ialah sikap UMNO hari ini yang seolah cuba menafikan atau merendahkan usaha penyatuan yang telah diwujudkan oleh pihak lain.
Sedangkan hakikatnya, Rumah Bangsa yang ditubuhkan UMNO sangat mirip dari segi konsep dan tujuan dengan Payung Besar Melayu.
Dalam politik, meniru idea bukan satu kesalahan, namun meniru dalam keadaan terpaksa, kemudian merendahkan pihak yang memulakan usaha tersebut, hanya menonjolkan krisis keyakinan dan ketandusan kepimpinan strategik.
Lebih membimbangkan, penubuhan Rumah Bangsa sendiri kelihatan kabur dari segi hala tuju dan matlamat. Setakat ini, tidak jelas apakah peranan sebenar entiti ini, sama ada ia sekadar wadah pertemuan, alat politik menjelang pilihan raya atau satu struktur penyatuan yang benar-benar bebas dan inklusif.
Tanpa penjelasan yang tuntas, Rumah Bangsa berisiko menjadi simbol kosong yang hanya hidup dalam ucapan dan kenyataan media, tetapi gagal berfungsi dalam realiti politik.
Realiti ini menjadi semakin ketara apabila sambutan terhadap Rumah Bangsa kelihatan sangat terhad. Jika hanya Parti Ikatan Rakyat, sebuah parti kecil yang diasaskan oleh Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, yang tampil mendaftar masuk, sukar untuk Rumah Bangsa dianggap sebagai satu kejayaan atau pencapaian besar.
Dalam landskap politik nasional, Parti Ikatan tidak membawa nilai tambah dari segi sokongan akar umbi, kekuatan jentera, mahupun pengaruh pengundi. Kehadirannya lebih menyerupai melukut di tepi gantang, ada tidak menambah, tiada tidak mengurang, dan tidak mengubah apa-apa dari sudut kekuatan sebenar penyatuan Melayu.
Hakikat yang perlu diakui ialah masalah sebenar UMNO hari ini bukan ketiadaan platform atau slogan baharu, tetapi kegagalan memisahkan kepentingan parti daripada kepentingan bangsa.
Setiap usaha penyatuan yang tidak berada di bawah kawalan UMNO sering dilihat sebagai ancaman, bukannya peluang. Sedangkan penyatuan Melayu yang tulen menuntut pengorbanan ego politik, kesediaan berkongsi peranan, dan keberanian untuk mengakui UMNO bukan lagi satu-satunya wadah perjuangan Melayu.
Jika Rumah Bangsa ditubuhkan hanya sebagai tindak balas kepada kemerosotan sokongan Melayu terhadap UMNO, maka ia tidak akan bertahan lama. Orang Melayu hari ini semakin matang dan kritikal. Mereka dapat membezakan antara penyatuan yang lahir daripada keikhlasan dengan penyatuan yang lahir daripada ketakutan kehilangan kuasa.
Sekiranya Rumah Bangsa gagal menarik sokongan luas daripada parti-parti Melayu utama dan NGO-NGO Islam yang berpengaruh, UMNO akan terus dilihat sebagai parti yang semakin terasing daripada denyut nadi sebenar orang Melayu.
Sebelum UMNO sibuk merendahkan Payung Besar Melayu, UMNO seharusnya terlebih dahulu melihat keadaan Rumah Bangsa yang ditubuhkannya sendiri. Adakah ia benar-benar hidup dan berkembang atau sekadar wujud atas kertas dan pentas politik?
Dalam keadaan ini, lebih wajar UMNO bercermin diri daripada mencari kelemahan orang lain. Dalam politik Melayu hari ini, yang dinilai bukan siapa yang paling lantang bercakap tentang penyatuan, tetapi siapa yang benar-benar sanggup membayar harga untuk menjayakannya.
Jika Rumah Bangsa hanya menjadi rumah kosong tanpa penghuni yang bererti, maka ia tidak akan diingati sebagai langkah bersejarah, sebaliknya sekadar satu lagi episod kegagalan UMNO membaca realiti zaman dan kehendak bangsanya sendiri. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
