Oleh: Manzaidi Mohd Amin

WALAUPUN wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan telah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka, tindakan beliau mengajukan soalan yang tidak wajar dalam ceramah awam “Gaza Exposes the Complicity of International Actors” pada 12 Januari lalu tetap satu kegagalan profesional yang serius dan tidak boleh dipandang ringan.
Soalan dikemukakan bukan sahaja tidak relevan dengan topik penderitaan dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza, malah mencerminkan ketumpulan pertimbangan, kejahilan konteks serta kecuaian etika yang memalukan bagi seorang wartawan.
Lebih memburukkan keadaan, mengaitkan isu perkauman tempatan, termasuk menyebut kaum Cina dan Melayu dalam forum antarabangsa berkaitan tragedi kemanusiaan adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan berpotensi menghasut salah faham serta ketegangan kaum.
Permohonan maaf tidak boleh dijadikan alasan untuk menormalisasikan kecuaian sebegini. Mengakui soalan itu “dirangka dengan tidak baik”, “tidak relevan”, “mengelirukan” dan “tidak perlu” sebenarnya mengesahkan soalan tersebut langsung tidak sepatutnya ditanya sejak awal.
Ini menimbulkan persoalan besar, bagaimana seorang wartawan boleh gagal memahami sensitiviti asas isu Palestin dan platform ceramah yang dihadiri?
Rujukan keterlaluan kepada Malaya serta cubaan menjelaskan maksud sebenar selepas kritikan tercetus hanya memperlihatkan usaha bersifat reaktif, bukannya kesedaran profesional yang tulen.
Kerosakan telah berlaku, fokus ceramah telah dipesongkan, wacana awam telah dicemari, dan isu Palestin telah dicampur adukkan dengan persoalan perkauman tempatan yang langsung tidak berkaitan.
Lebih membimbangkan, insiden ini mencerminkan kelemahan serius dalam budaya editorial dan kawalan kualiti FMT sendiri.

Sebuah organisasi media sepatutnya melahirkan wartawan yang berdisiplin, berpengetahuan dan peka terhadap implikasi soalan diajukan, bukan individu yang secara cuai mencetuskan kontroversi atas isu sensitif demi perhatian atau kejahilan sendiri.
Isu Gaza bukan bahan eksperimen intelektual, bukan ruang untuk soalan yang kabur, dan bukan medan untuk menyelitkan naratif perkauman tempatan. Ia adalah isu pembunuhan, penjajahan dan kezaliman berterusan. Kegagalan memahami hakikat ini adalah satu kegagalan moral, bukan sekadar kesilapan teknikal.
FMT dan wartawan terbabit wajar menerima teguran keras ini sebagai peringatan bahawa kebebasan media datang bersama tanggungjawab besar.
Permohonan maaf sahaja tidak memadai tanpa pembetulan menyeluruh terhadap sikap, latihan dan piawaian profesional. Jika tidak, insiden seperti ini akan terus mencemarkan integriti kewartawanan dan merendahkan mutu perbincangan awam di negara ini. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
