KOTA BHARU – Kakak kepada Allahyarham Mohamed Saiful Kamaruzaman, yang maut dalam kemalangan di Gua Musang semalam, Siti Sarah Kamaruzaman, 39, tidak menyangka pertemuan dua minggu lepas dengan adiknya adalah yang terakhir.
Katanya, Mohamed Saiful yang merupakan petugas pengisian bahan api kapal terbang di sebuah syarikat pembekal bahan api, kelihatan seperti biasa ketika mereka bertemu dan tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik.
“Pada masa itu, kami berkumpul sempena majlis perkahwinan sepupu serta makan malam bersama-sama keluarga. Ketika itu, Epul (gelaran kepada arwah) tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Anak Sungai, Pengkalan Chepa, di sini malam ini.
Beliau berkata, lazimnya Mohamed Saiful gunakan penerbangan untuk menjalani kursus di ibu negara, namun kali ini arwah menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena bersama rakan sekerja dan sepatutnya pulang Jumaat ini sebaik tamat kursus berkenaan.
“Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Keranji, Simpang 3, Pengkalan Chepa, pada 10 pagi esok,” katanya.
Sementara itu, bapa mentua kepada Allahyarham Nik Azmi Nik Othman, Mat Jusoh Muda, 76, berkata, kali terakhir dia berjumpa menantunya itu minggu lepas yang pulang ke rumahnya di Felda Chiku 3, Gua Musang.
“Ketika itu arwah tidak banyak bercakap seperti selalu dan tergesa-gesa hendak pulang.
“Namun, petang tadi saya mendapat panggilan daripada anak, iaitu isteri kepada arwah, Siti Safila (40 tahun) menangis teresak-esak memaklumkan Nik Azmi (suaminya) telah meninggal dunia akibat kemalangan,” katanya.
Dalam kejadian sekitar jam 12.40 tengah hari semalam, tiga lelaki maut, manakala tiga lagi cedera parah termasuk seorang wanita dalam kemalangan di Kampung Paloh, Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, tiga mangsa yang maut ialah Nik Razizi Nik Rahim, 55; Nik Azmi, 47; dan Mohamed Saiful, 33. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
