Biar mahkamah tentukan permohonan PETRONAS – Abang Johari

KUCHING – Kerajaan Sarawak menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk membuat keputusan berhubung permohonan Petroliam Nasional Bhd. (PETRONAS) yang meminta pencerahan berkaitan kawal selia industri petroleum di negeri ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, menegaskan isu itu membabitkan Kerajaan Persekutuan dan negeri, justeru adalah wajar mahkamah menjadi badan yang menentukan hala tuju serta penyelesaiannya.

“Saya tiada komen. Mereka berkehendakkan arahan atau ‘direction’ daripada mahkamah, jadi biarlah mahkamah menentukan,” katanya dipetik laporan Berita Harian selepas Majlis Amanat Perdana 2026 Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Abang Johari menyifatkan, permohonan itu adalah langkah biasa mana-mana pihak yang mahukan penjelasan dari segi perundangan, khususnya dalam isu yang menyentuh bidang kuasa dan kepentingan bersama.

“Biasalah, mungkin mereka minta arahan daripada mahkamah, bagaimanapun ia tidak memberi kesan yang besar,” katanya.

Beliau berkata, pada akhirnya semua pihak perlu mencari penyelesaian yang terbaik dan jelas, selaras dengan prinsip undang-undang yang diguna pakai di negara ini.

“Apa yang penting ialah kejelasan atau clarity. Kita ada ‘rule of law’, jadi kita ikutlah,” katanya.

Mengulas hubungan dan kerjasama di antara PETRONAS dan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) selepas keputusan mahkamah, Abang Johari berkata, perkara itu bergantung sepenuhnya kepada hasil penghakiman yang akan dibuat kelak.

“Tunggulah keputusan mahkamah yang akan menentukan,” katanya.

Tegasnya, kerajaan Sarawak akan menghormati proses perundangan dan menunggu keputusan mahkamah sebagai panduan muktamad dalam menentukan langkah seterusnya berkaitan pengurusan dan kawal selia sumber petroleum di negeri ini.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *