KUALA LUMPUR – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berada dalam keadaan baik dan stabil selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini susulan insiden terjatuh di kediamannya.
Perkara itu disahkan anak perempuannya, Datin Paduka Marina Mahathir yang dilaporkan berkata, walaupun keadaannya dianggap serius, ia tidak mengancam nyawa negarawan berusia lebih 100 tahun itu.
“Ini sesuatu yang serius, tetapi tidak berbahaya. Mengambil kira faktor usia beliau, keadaannya adalah relatif dan beliau berada dalam keadaan baik,” katanya ketika ditemui media di lobi IJN, hari ini.
Marina turut memaklumkan, pihak keluarga akan mengeluarkan kenyataan rasmi yang lebih terperinci dalam masa terdekat selepas semua istilah perubatan disahkan dengan tepat.
Tun Dr. Mahathir dimasukkan ke IJN sekitar jam 9.30 pagi tadi selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya kira-kira jam 7.30 pagi ketika bergerak dari balkoni ke ruang tamu.
Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff, dalam mesej yang dikongsikan menerusi kumpulan WhatsApp rasmi Dr M Media Updates memaklumkan, Tun Mahathir dibawa ke hospital menggunakan ambulans dan berada dalam keadaan sedar ketika tiba di IJN.
Menurut Sufi, hasil penilaian pasukan perubatan mengesahkan Tun Dr. Mahathir mengalami kecederaan patah tulang pinggul kanan.
“Tun disahkan mengalami patah tulang pinggul kanan dan dijangka ditahan di wad selama beberapa minggu bagi tujuan rawatan serta pemantauan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Tun Dr. Mahathir, yang pernah memegang jawatan Perdana Menteri keempat dan ketujuh, sebelum ini juga pernah menerima rawatan di IJN pada 13 Julai 2025 akibat keletihan, namun dibenarkan pulang pada hari yang sama selepas keadaannya didapati stabil.
Pihak hospital dan keluarga akan terus memantau perkembangan kesihatan beliau dari semasa ke semasa.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
