Malam Solidariti Bersama Venezuela: NGO, Parti Politik Kecam Campur Tangan Ketenteraan AS

SHAH ALAM – Gabungan pertubuhan masyarakat sivil dan parti politik seluruh negara menyatakan bantahan tegas terhadap campur tangan ketenteraan terbaharu Amerika Syarikat (AS) di Venezuela dalam satu perhimpunan solidariti “Malam Solidariti Bersama Venezuela” hari ini.

Dalam kenyataan bersama, gabungan itu mengecam tindakan AS sebagai satu pencerobohan haram ke atas sebuah negara berdaulat serta pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa.

Mereka menegaskan, sebarang bentuk serangan atau campur tangan ketenteraan tanpa mandat antarabangsa bukan sahaja mencabuli kedaulatan sesebuah negara, malah mengancam prinsip asas keamanan dunia.

Menurut kenyataan itu, tindakan AS mencerminkan sikap seolah mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan hala tuju dan nasib negara lain.

Gabungan itu turut menyuarakan kebimbangan, pendekatan unilateral dan agresif seperti ini boleh mencetuskan ketidakstabilan serantau serta memberi kesan buruk kepada keamanan global secara keseluruhan.

“Rakyat Venezuela mesti diberi kebebasan sepenuhnya untuk menguruskan hal ehwal politik, ekonomi dan sosial negara mereka sendiri tanpa tekanan, ugutan atau campur tangan daripada kuasa asing,” menurut kenyataan itu lagi.

Sehubungan perkembangan itu, gabungan berkenaan mengemukakan beberapa tuntutan utama, antaranya menyeru komuniti antarabangsa agar bersatu mengutuk tindakan ketenteraan AS yang disifatkan sebagai biadab dan tidak bertanggungjawab serta menuntut penghentian segera semua operasi ketenteraan di Venezuela.

Mereka juga menuntut pembebasan serta-merta Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, yang didakwa ditahan dalam konteks konflik berkenaan.

Selain itu, gabungan berkenaan mendesak Kerajaan Malaysia mengambil pendirian lebih tegas dengan menyatakan bantahan rasmi terhadap tindakan AS.

Mereka turut menggesa Malaysia menggunakan peranannya di peringkat serantau dan antarabangsa, khususnya melalui ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), untuk mempertahankan prinsip kedaulatan negara, keadilan antarabangsa dan kedaulatan undang-undang.

Kenyataan tersebut turut menegaskan, sikap berdiam diri atau berkecuali dalam menghadapi kezaliman dan pencerobohan seumpama ini sama ertinya dengan merestui perbuatan tersebut.

Justeru, mereka menyeru seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, kaum dan kepercayaan yang menjunjung nilai keamanan, keadilan dan solidariti antarabangsa agar bersama menyatakan bantahan melalui penyertaan dalam tindakan protes dan kempen kesedaran awam.

“Malam Solidariti Bersama Venezuela” ini dianjurkan sebagai simbol sokongan rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Venezuela serta penolakan terhadap imperialisme dan keganasan kuasa besar.

Program tersebut turut menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai isu campur tangan asing dan kepentingan mempertahankan undang-undang antarabangsa.

Perhimpunan dan kenyataan bersama ini disokong oleh pelbagai organisasi dan parti politik, termasuk Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), BDS Malaysia, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Rumah Mandiri, Initiatives for Human Rights in Asia (IHRA) dari Jakarta, SEJAGAT, Centre for Human Rights Research & Advocacy (Centhra) Malaysia, serta Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

Gabungan tersebut menyatakan komitmen untuk terus memantau perkembangan di Venezuela dan meneruskan usaha solidariti antarabangsa demi mempertahankan keamanan, kedaulatan dan keadilan sejagat. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *