PUTRAJAYA – Pihak pembelaan yang mewakili Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhujah, rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya adalah tidak bermerit dan wajar ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
Hujahan itu dikemukakan susulan pendirian pendakwaan untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq, 33, daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta berkaitan empat pertuduhan penyelewengan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Menerusi sepucuk surat daripada firma guaman Mustafa Ling & Co yang dihantar kepada Timbalan Pendaftar pada Khamis, pihak pembelaan memohon agar panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq.
Surat tersebut merujuk kepada nasihat Presiden Mahkamah Rayuan selaku ketua panel hakim pada 12 Disember lalu, yang meminta kedua-dua pihak iaitu pendakwaan sebagai perayu dan pembelaan sebagai responden menilai semula kedudukan masing-masing dalam prosiding berkenaan.
Menurut pihak pembelaan, mereka menghargai keprihatinan serta kebijaksanaan mahkamah dalam mengemukakan cadangan tersebut dan telah meneliti sepenuhnya pandangan yang diberikan.
Pihak responden memaklumkan, mereka telah berbincang dengan pihak perayu serta menasihati anak guam berhubung nasihat berkenaan.
“Kami menegaskan, rayuan perayu tidak bermerit, sebagaimana yang telah dihujahkan semasa pendengaran rayuan sebelum ini.
“Responden menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan panel hakim untuk membuat keputusan yang adil dan saksama kepada semua pihak,” menurut kandungan surat itu.
Pada 12 Disember lalu, tindakan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang tidak memberikan keputusan serta-merta selepas mendengar hujahan rayuan pendakwaan telah mencetuskan perhatian luar biasa masyarakat.
Mahkamah bukan sahaja menangguhkan keputusan, malah memberi tempoh seminggu kepada kedua-dua pihak untuk ‘bertenang’ dan menilai semula hujahan masing-masing.
Panel hakim dipengerusikan Datuk Abu Bakar Jais bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah turut menggesa dua pihak berkenaan mempertimbangkan semula sama ada rayuan wajar diteruskan atau sebaliknya.
Selepas tempoh berkenaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, rayuan akan diteruskan seperti dirancang.
Dalam surat kepada Timbalan Pendaftar, pihak pendakwaan menyatakan mereka telah mendapatkan pandangan dan arahan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, yang mengarahkan supaya rayuan diteruskan dan sebarang keputusan mahkamah diterima sepenuhnya.
Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Armada.
Bagaimanapun, pada 25 Jun lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara membebaskan beliau daripada semua sabitan dan hukuman tersebut.
Panel hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin memutuskan, perbuatan mengarahkan pengeluaran wang tidak boleh disamakan dengan perbuatan melupuskan dana.
Syed Saddiq sebelum ini berdepan empat pertuduhan, iaitu pecah amanah melibatkan dana RM1 juta Armada pada Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan; salah guna harta berjumlah RM120,000 daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) antara April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan; dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan pemindahan RM50,000 masing-masing ke akaun Amanah Saham Bumiputera pada Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta AMLA 2001.
Jika disabitkan kesalahan, beliau berdepan hukuman maksimum penjara sehingga 15 tahun serta denda sehingga lima kali ganda jumlah wang yang terlibat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L