Oleh Rudy Sham Abdul Raof
MELIHAT satu bangunan deretan kedai di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, tidak terlintas dalam fikiran wujudnya sebuah syarikat penyedia makanan tersohor yang menyajikan pelbagai juadah makanan dari masakan tempatan dan antarabangsa.
Namun, di sebalik kemeriahan dan kejayaan ketika ini, pemilik PV Micron Catering Sdn. Bhd., Theena a/l Thayalan tetap menempuh pelbagai onak dan rintangan sebelum bergelar ahli peniagaan kerana pada awalnya beliau hanyalah seorang pekerja am di sebuah kilang di Sendayan, Negeri Sembilan yang mempunyai khayalan besar untuk memiliki syarikat penyedia makanan.
“Saya pada mulanya adalah pekerja am dan sentiasa diminta untuk membelikan makanan kepada kakitangan di kilang tempat saya bekerja. Bermula dengan 10 bungkus sehinggalah jumlah itu semakin bertambah.

“Saya minta emak saya masakan nasi dan beli kuah atau lauk di kedai (restoran) Muslim kerana ramai yang beragama Islam di kilang saya. Jadi, saya ambil keputusan buka sebuah syarikat penyedia makanan sejak 10 tahun lalu kerana rasakan sesuatu nikmat jalankan perniagaan ini.
“Kini, syarikat yang dibina semakin maju dan dari hanya beberapa sahaja kakitangan yang ada, kini saya sudah mempunyai lebih 50 pekerja. Lebih membanggakan saya seramai 32 kakitangan saya adalah Muslim.
“Selebihnya pula bekerja di bahagian logistik, pengangkutan dan pembersihan. Mereka semua adalah kakitangan warga tempatan. Inilah kekuatan yang saya ada kerana tanpa mereka siapalah saya,” kata Theena ketika ditemui di pejabatnya.
Lebih meriah, Theena turut menyediakan juadah nasi lemak yang berlaukkan rendang kerang, daging masak hitam berempah, sambal ikan bilis dan ayam kari kering serta teh tarik kepada delegasi kami di pejabatnya.

Lebih teruja, penulis mengabaikan Theena ketika menjawab soalan kerana terus menikmati masakan yang disediakan tukang masak beliau, Chef Man (Hazman Baharin) sambil ditemani Eksekutif Halal syarikat beliau, Kamarulariffin Atan.
Dengan tersenyum, Theena menanyakan penulis, bagaimana masakan yang disediakan Chef Man, dengan pantas menjawab ‘amat lazat dan tidak hairanlah banyak syarikat besar menempah makanan yang disediakan syarikatnya.
Theena turut menjelaskan, pelanggan beliau ada banyak kategori, dari syarikat sehingga agensi kerajaan. Begitu juga dengan orang perseorangan terdiri daripada pelbagai latar belakang.
“Saya tidak memilih pelanggan. Jika ada yang mahu sedikit saya tetap sediakan, mahu banyak saya bersyukur. Kerana sedikit kita buat cara sedikit, jika dapat banyak saya kongsi rezeki ini bersama kakitangan saya,” katanya.
Rahsia beliau kukuhkan perniagaan, Theena menjelaskan, beliau kena peka dengan keadaan sekeliling, terutama pelanggan.
“Saya hanya sediakan makanan halal dan sudah semestinya saya memerlukan sijil halal. Jadi, saya perlu mengambil pegawai yang ada pengalaman dalam bidang ini iaitu Kamarul.
“Kamarul akan berurusan dengan pegawai Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia). Sudah enam tahun kami memiliki sijil ini dan perniagaan kami semakin baik dan rezeki bertambah.

“Ini dinamakan berkat dan saya percaya serta yakin dengannya. Saya begitu berterima kasih dengan kakitangan saya yang sentiasa menjaga kualiti dan komitmen mereka untuk bersama bantu syarikat ini terus maju,” kata Theena.
Sementara itu, Kamarul berkata, beliau sudah lama bersama dengan bos (Theena) dan beliau amat menjaga kebajikan kakitangan dan tidak pernah membiarkan pekerjanya berada dalam kemurungan.
“Kami sentiasa ceria dan bos amat bertanggungjawab serta ambmil berat soal Kebajikan. Saya tidak pernah rasa terpinggir dan lebih terharu boleh menghantar kami mengerjakan Umrah biarpun beliau bukan beragama Islam.
“Bagi Theena, yang penting kakitangan tidak rasa duka lara ketika bekerja. Kami gembira di sini. Memang ada salah silap namun ia cepat diperbetulkan demi memastikan kepuasan pelanggan.
“Saya jaga bahagian Halal dan sudah pasti keutamaan benda yang suci untuk kita sediakan kepada pelanggan. Bukan Sahaja dari segi makanan, namun ia membabitkan fizikal kakitangan dan tempat penyediaan makanan,” kata Kamarul.
Sementara itu, Chef Man ketika ditanya bagaimana keseronokan beliau bekerja di PV Micron Sdn. Bhd., beliau yang sudah tiga tahu bekerja di syarikat itu menyatakan tidak pernah rasa terfikir untuk berhijrah.
“Selepas ditawarkan bekerja di sini, saya dari bujang sudah berkahwin. Dari tidak memiliki rumah kini sudah ada kediaman sendiri. Rezeki saya di sini dan berharap ia berterusan sehingga bila-bilan,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001