Laporan: Abd. Ghaffar Daud

RANTAU PANJANG – Kejohanan sukan tahunan Sekolah Kebangsaan Gual To’ Deh (SKGTD) berlangsung meriah apabila buat pertama kalinya ibu bapa turut serta dalam beberapa acara yang dianjurkan pihak sekolah, dekat sini, kelmarin.
Program anjuran Unit Kokurikulum SKGTD dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu memperkenalkan empat acara khas untuk ibu bapa, termasuk lari dalam kain sarung berpasangan, sambut belon air, lari menggunakan tempurung dan pertandingan lastik bersama guru.

Acara lastik mencatat penyertaan tertinggi dengan 52 peserta, melibatkan daripada 37 lelaki dan selebihnya wanita, manakala sukaneka pula disertai murid prasekolah hingga murid Tahun Enam.
Seorang ibu bapa, Nur Hidayah Isa berkata, penganjuran sukan yang melibatkan ibu bapa buat julung kali memberi pengalaman baharu dan menarik.

“Saya harap ia dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang. Acara sebegini bukan sahaja mendapat sambutan baik, malah dapat mengeratkan silaturahim di antara ibu bapa dengan guru serta sesama ibu bapa,” katanya.
Nur Hidayah turut menyertai dua acara iaitu membaling belon air dan lastik. Beliau diumumkan sebagai pemenang dalam acara membaling belon air mengatasi sembilan peserta lain.

Pihak sekolah dan PIBG turut mendapat pujian daripada peserta atas penganjuran acara berunsur tradisi seperti pertandingan lastik yang dilihat mampu menghidupkan kembali aktiviti masyarakat setempat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001