MISI OSIRIS-REx yang dilancarkan pada 2016 bertujuan mengambil sampel daripada asteroid 101955 Bennu, sebagai percubaan pertama menganalisis komposisi asteroid ketika berada di angkasa lepas.
Sampel berkenaan kembali ke bumi dengan selamat pada 2023.
Ketua pasukan saintis dari Tohoku University, Yoshihiro Furukawa, mengumumkan mereka menemukan sebatian gula yang menjadi komponen asas pembentukan kehidupan dalam sampel tersebut.
Antara yang dikesan ialah ribosa, yang diperlukan untuk pembentukan RNA, dan glukosa, yang digunakan oleh kehidupan di bumi.
Penemuan ini tidak membuktikan kewujudan hidupan luar bumi, namun menyokong hipotesis bahawa hentaman asteroid berbilion tahun lalu mungkin memulakan kehidupan di bumi.
Dengan berbilion asteroid mengandungi bahan asas pembentukan organisma, kebarangkalian kewujudan kehidupan selain di bumi bukan lagi sifar.
Sampel Bennu yang dikaji adalah bebas pencemaran kerana diambil terus dari asteroid sebelum tiba di bumi.
Pasukan Tohoku menganalisis 600 miligram debu Bennu menggunakan air dan asid untuk mengekstrak gula, sebelum mengesan kehadiran ribosa, glukosa dan gula lain melalui alatan makmal.
Pasukan sama kini menumpukan kajian ke atas sampel asteroid Ryugu yang kembali ke bumi pada 2020 menerusi misi Hayabusa2. Kajian ini dijangka lebih mencabar kerana hanya 100 miligram sampel Ryugu berjaya dikumpul.
Hasil kajian telah diterbitkan dalam jurnal Nature Geoscience. –Amanz
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001