Mengimbangi Kelompangan Undang-Undang Homoseksual dan Perintah Rawatan Pemulihan

Oleh: Nik Saiful Adli Burhan

ISU penangkapan melibatkan lebih 171 warga tempatan di sebuah ‘sauna gay’, yang dikaitkan dengan golongan homoseksual di Malaysia baru-baru ini telah mendedahkan beberapa cabaran kritikal dalam sistem perundangan dan sosial negara.

Walaupun tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa dilihat sebagai usaha memelihara moral dan ketenteraman awam, kelemahan dalam peruntukan undang-undang sedia ada telah menghalang pelaksanaan undang-undang yang menyeluruh.

Contohnya, permohonan reman bagi menyiasat sebahagian mereka atas kesalahan liwat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan gagal diteruskan kerana tiada seorang pun yang tampil atau mengaku sebagai mangsa.

Kesalahan liwat secara amnya memerlukan unsur paksaan atau salah laku terhadap seseorang yang tidak bersetuju. Apabila perbuatan tersebut dilakukan secara sukarela, kekaburan perundangan ini menjadi isu utama.

Isu ini memerlukan pertimbangan semula yang serius terhadap rangka kerja undang-undang dan pendekatan sosial Malaysia dalam menangani isu kecenderungan seksual yang tidak normal dan perlakuan seksual songsang.

Dalam konteks ini, adalah dicadangkan untuk meminda peruntukan Seksyen 377B Kanun Keseksaan supaya perbuatan liwat, walaupun dilakukan atas dasar suka sama suka turut dijadikan kesalahan jenayah.

Langkah ini penting kerana perbuatan tersebut dilihat sebagai isu moral dan masalah sosial yang lebih besar. Ianya isu nasional yang melangkaui batas agama tertentu, dan oleh itu memerlukan penguatkuasaan melalui undang-undang jenayah.

Bagi individu Muslim pula, peranan undang-undang Syariah perlu diperkasakan untuk merangkumi kesalahan seks songsang termasuk sebarang perbuatan yang dilihat menggalakkan budaya homoseksual secara terbuka.

Umum mengetahui, homoseksual sering dilihat sebagai suatu kecenderungan seksual yang tidak normal. Kecenderungan ini bukanlah suatu dosa atau kesalahan selagi mana ia tidak dizahirkan melalui perbuatan dan tingkah laku yang melanggar norma.

Oleh itu, dicadangkan agar peruntukan undang-undang digubal untuk membolehkan kes-kes homoseksual dirujuk untuk rawatan pemulihan meliputi terapi, perubatan, dan kaunseling seterusnya menjadikannya sama seperti pendekatan terhadap kes pemulihan penagih dadah. Langkah ini perlu atas kepercayaan individu yang terlibat memerlukan bantuan dan rawatan.

Perlu ada peruntukan undang-undang yang memberi kuasa kepada polis dan Jabatan Agama untuk memohon perintah mahkamah yang mewajibkan individu menjalani rawatan sewajarnya, selain mewajibkan lapor diri secara berkala untuk pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan kepatuhan kepada rawatan dan mencegah pengembangan ideologi homoseksual.

Walaupun tidak salah untuk menganggap individu yang terlibat sebagai “orang sakit” memerlukan perubatan, penting untuk membezakan antara kecenderungan dengan perbuatan. Mengiktiraf kecenderungan sebagai penyakit, tetapi kemudian menghalalkan perbuatan mereka atas dasar redha atas kecenderungan songsang sebagai “anugerah Tuhan” boleh merosakkan sistem sosial dan membantutkan proses pemulihan.

Oleh kerana itulah, langkah pertama disarankan ialah penggubalan undang-undang yang menjadikan aktiviti homoseksual sebagai suatu kesalahan jenayah.

Ini diikuti dengan pemberian kuasa kepada pihak berkuasa untuk menguatkuasakan perintah rawatan dan pengawasan berkala. Pendekatan ini adalah kritikal, bukan sahaja untuk memastikan kepatuhan individu terlibat, tetapi juga mengelakkan perkembangan ideologi homoseksual yang dikhuatiri boleh meruntuhkan sistem sosial masyarakat di Malaysia.

Nik Saiful Adli Burhan adalah Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan serta Peguambela dan Peguamcara, Peguam Syarie.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *