Oleh: Abdul Ghaffar Daud

PASIR MAS – Kejayaan luar biasa dicatatkan Tadika Tengku Anis 3 (TTA3), bawah pentadbiran Yayasan Islam Kelantan (YIK) apabila seorang murid enam tahun berjaya khatam al-Quran, sekali gus menjadi pencapaian utama pada Majlis Apresiasi dan Graduasi Kali Ke-25 di Dewan Sri Anis, di sini, kelmarin.
Majlis dirasmikan Pegawai Hal Ehwal Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Rendah Ugama (SRU) dan Tadika YIK, Khairul Anuar Ismail di hadapan ibu bapa serta warga TTA3.
Seramai 30 murid enam tahun menerima Sijil Tamat Prasekolah, manakala pelbagai anugerah kecemerlangan turut diberikan kepada murid lima dan enam tahun meliputi kategori murid terbaik kelas, murid terbaik al-Quran dan Iqra, kerja cermat dan kehadiran terbaik.
Dua anugerah tertinggi, Tokoh Murid 2025, diberikan kepada Danny Rizky Ramadhan Saifful Hafez, tokoh murid lelaki, manakala Raja Nur Azhara Raja Muhamad Affiq, tokoh murid perempuan.

Raja Nur Azhara turut mencuri perhatian apabila berjaya khatam al-Quran pada usia enam tahun, hasil bimbingan guru serta sokongan ibu bapa sejak awal.
Guru Besar TTA3, Hasmidah Wan Hamat berkata, pencapaian itu membuktikan kemampuan murid menguasai pendidikan asas islam sekiranya diberi tunjuk ajar yang konsisten.
“Pencapaian ini amat membanggakan. Usia enam tahun bukan halangan untuk menguasai al-Quran jika diberikan bimbingan berterusan. Semoga kejayaan ini menjadi motivasi kepada murid lain,” katanya.
Menurut beliau, penerima tokoh dinilai berdasarkan pencapaian menyeluruh termasuk kemahiran membaca al-Quran, penguasaan 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) serta sahsiah dan akhlak terpuji sepanjang berada di TTA3.
Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran, Rosnita Che Kar berkata, penganjuran kali ke-25 menunjukkan iltizam TTA3 dalam memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak bawah pentadbiran YIK dengan menekankan aspek akademik, al-Quran dan sahsiah.
Majlis berakhir jam 12.30 tengah hari dengan penyampaian penghargaan kepada penyumbang, ibu bapa dan semua pihak yang membantu menjayakan program tersebut.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001