SHAH ALAM – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyatakan sokongan penuh terhadap gerakan yang diilhamkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi menjayakan agenda “Payung Besar” yang bertujuan menyatukan semua parti politik Melayu di bawah satu gabungan lebih besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Dewan Tertinggi (ADT), Azrol Mansor berkata, sudah tiba masanya kepimpinan tertinggi parti politik Melayu mengetepikan rasa ego dan sombong demi memperkukuh perpaduan bangsa serta mengembalikan kekuatan politik orang Melayu yang dilihat semakin lemah akibat perpecahan dalaman.
Katanya, parti politik Melayu harus belajar daripada parti bukan Melayu yang walaupun berbeza ideologi, masih mampu bersatu apabila melibatkan kepentingan bangsa mereka.
“Ini yang sepatutnya menjadi contoh kepada pemimpin Melayu. Bibit penyatuan sebenarnya sudah mula kelihatan apabila sayap Pemuda UMNO dan BERSATU berganding bahu dalam isu Jalur Gemilang terbalik di Pulau Pinang baru-baru ini.
“Tindakan ini menunjukkan isyarat jelas bahawa orang Melayu masih boleh bersatu jika pemimpinnya bersikap terbuka dan berjiwa besar,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau menegaskan, NGO Melayu seperti PERKASA sentiasa menaruh harapan agar usaha penyatuan selama ini hanya menjadi retorik dapat direalisasikan sebagai kenyataan politik yang kukuh.
“PRU16 bakal menjadi penentu hidup mati kuasa politik Melayu. Jika pemimpin terus mengutamakan kepentingan peribadi dan kelompok tertentu, bangsa Melayu akan terus berpecah dan kehilangan pengaruh dalam arena politik negara,” tegasnya.
PERKASA, katanya lagi, akan terus memberi sokongan padu kepada mana-mana pihak yang benar-benar berhasrat menjayakan agenda penyatuan bangsa Melayu di bawah satu panji besar demi masa depan politik dan survival bangsa itu sendiri.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001