LONDON – Jamie Carragher memberi amaran kepada Arne Slot bahawa Mohamed Salah tidak lagi wajar menjadi pilihan automatik dalam kesebelasan utama Liverpool selepas kekalahan 1-2 kepada Manchester United di Anfield.
Bekas pemain pertahanan The Reds itu berkata, penyerang Mesir yang suatu ketika dulu ‘tidak tersentuh’ dalam jentera serangan kini perlu diurus dengan lebih berhati-hati selepas pengaruhnya semakin pudar.
“Ia satu dilema sebenar buat pengurus untuk menentukan apa yang perlu dilakukan. Menarik apabila beliau (Slot) menggantikannya,” kata Carragher kepada Sky Sports.
“Jurgen Klopp dulu pun kerap menggantikan Salah, itu menunjukkan walaupun dia kadang-kadang bermain kurang baik, Klopp tahu bila untuk menurunkannya semula.
“Kini kita sampai ke tahap yang mana Salah tidak seharusnya bermain setiap perlawanan. Dia masih antara pemain terbaik, tetapi bukan setiap kali namanya pertama dalam senarai.
“Mungkin dia patut bermain aksi di laman sendiri, tetapi kalau Liverpool ada dua aksi di tempat lawan satu di Eropah, satu di Brentford saya tidak fikir dia patut bermain kedua-duanya.”
Kenyataan Carragher hadir selepas Liverpool tewas empat perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan, termasuk tiga dalam Liga Perdana Inggeris, sekali gus menyaksikan mereka jatuh ke tangga ketiga selepas kehilangan kelebihan lima mata di puncak.
Bryan Mbeumo membuka jaringan selepas 61 saat susulan salah faham antara Virgil van Dijk dan Alexis Mac Allister, sebelum Cody Gakpo menyamakan kedudukan pada babak kedua.
Namun tandukan lewat Harry Maguire memastikan kemenangan pertama United di Anfield sejak 2016.
Sementara itu, Gary Neville menerusi The Gary Neville Podcast sependapat dengan Carragher dan berkata beliau mula melihat tanda-tanda awal kemerosotan Salah bukan dari segi fizikal, tetapi teknikal.
“Tanda-tanda mula muncul sama ada disebabkan usia atau sudah semusim terlalu lama,” kata Neville.
“Tetapi peliknya, saya tidak nampak kemerosotan fizikal, pecutannya masih tajam, dia masih aktif dalam kotak penalti. Namun dari segi teknik, seperti ketika menyepak atau melakukan hantaran lintang, ia nampak jauh berbeza.” – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001