Perutusan Khas Tun Dr. Mahathir sempena Ulangtahun UiTM ke-25

Tun M gesa rakyat bersatu pertahan maruah dan kedaulatan negara

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru seluruh rakyat Malaysia bersatu dalam satu misi besar yang beliau sebut sebagai “Gagasan Selamatkan Negara”, bagi mempertahankan masa depan negara, maruah bangsa dan kedaulatan tanah air yang kian terancam.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik hari ini, mantan Perdana Menteri itu menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap keadaan semasa negara yang disifatkannya “semakin hilang arah dan semakin jauh daripada landasan asal”.

Menurut beliau, keadaan yang berlaku kini bukan sekadar krisis politik atau perebutan kuasa semata-mata, sebaliknya melibatkan persoalan lebih besar, mengenai kelangsungan negara.

“Kita berada dalam keadaan yang cukup genting. Negara yang suatu ketika dahulu dihormati dan disegani di seluruh dunia, kini semakin hilang arah,” katanya.

Beliau menegaskan, jika keadaan itu dibiarkan berlarutan, Malaysia berisiko kehilangan segala-galanya termasuk kestabilan ekonomi, kemakmuran rakyat dan maruah bangsa.

“Kalau kita biarkan keadaan ini berterusan, jangan terkejut kalau suatu hari nanti Malaysia hanya tinggal nama. Ekonomi jatuh, rakyat terhimpit, tanah tergadai, maruah dipijak dan akhirnya anak cucu kita menjadi bangsa yang hina di tanah sendiri,” ujarnya.

Dr. Mahathir menegaskan, gagasan menyelamatkan negara bukan perjuangan peribadi beliau semata-mata, sebaliknya satu tanggungjawab bersama seluruh rakyat tanpa mengira latar politik.

“Ini bukan perjuangan seorang dua, ini bukan perjuangan Tun Mahathir semata-mata. Kalau saya sudah tiada sekalipun, misi ini wajib diteruskan,” katanya.

Beliau turut menyeru generasi muda agar bangkit dan tidak leka dengan janji-janji manis pihak tertentu, kerana masa depan negara kini bergantung kepada kesedaran dan keberanian mereka.

“Anak muda, kamu benteng terakhir. Kalau kamu leka, kalau kamu terus diulit janji manis, maka habislah masa depan kamu,” katanya lagi.

Dr. Mahathir yang kini berusia lanjut berkata, meskipun usianya semakin meningkat, beliau tidak akan berhenti bersuara demi kebenaran dan masa depan negara.

“Selagi saya bernafas, saya akan terus bersuara, saya akan terus mengingatkan bahawa perjuangan kita belum selesai. Kita mesti berani — berani kerana benar, takut kerana salah,” tegas beliau.

Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak mudah gentar dengan ugutan atau terpengaruh dengan fitnah, kerana perjuangan mempertahankan kebenaran akhirnya akan membawa kemenangan.

Dr. Mahathir mengakhiri kenyataannya dengan satu seruan perpaduan nasional, menegaskan bahawa semua pihak harus meletakkan perbezaan politik ke tepi demi kelangsungan tanah air.

“Kita hanya ada satu tanah air. Kalau tanah ini tergadai, kalau maruah ini hilang, kita tidak akan dapat menggantikannya dengan apa-apa pun,” katanya.

Beliau menyeru seluruh rakyat, khususnya orang Melayu dan generasi muda, untuk bangkit bersama dalam gagasan menyelamatkan negara.

“Letakkan perbezaan politik ke tepi, kerana misi kita sekarang lebih besar. Ini adalah misi selamatkan negara — bukan sekadar pilihan, tetapi amanah untuk kita semua,” tambahnya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *